Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek (gambar) mengakui sekarang bukan masa yang sesuai untuk memperkatakan mengenai pengganti Datuk Lee Chong Wei tetapi mencari jalan terbaik bagaimana untuk merapatkan jurang antara pemain nombor satu dunia itu dengan pemain muda.

Menurut bekas jurulatih perseorangan lelaki negara itu, ia bukan satu tugas mudah untuk mencari pengganti Chong Wei bukan saja pemain dalam negara malah pemain luar negara pun belum tentu mampu berbuat demikian dalam masa terdekat.

“Sekarang ini paling baik adalah mencari jalan bagaimana untuk merapatkan jurang antara Chong Wei dan pemain lain. Sebagai contoh Iskandar Zulkarnain Zainuddin, dia sekurang-kurangnya perlu menang kejuaraan bertaraf Grand Prix atau GP Emas. Kalau dapat Siri Super lagi bagus,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kelmarin, bekas pemain perseorangan lelaki negara, Hafiz Hashim mengakui Malaysia bukan saja sukar untuk mencari pengganti Chong Wei malah menjadi pengganti dirinya sendiri pun masih belum tentu.

“Jika Iskandar atau mana-mana pemain berjaya merangkul kejuaraan ia setidak-tidaknya mampu meningkatkan keyakinan mereka untuk terus merapatkan jurang dengan Chong Wei dengan syarat mereka mampu mengekalkan momentum untuk menghampiri jaguh perseorangan lelaki negara itu.

“Untuk mereka mengekalkan momentum setidak-tidaknya kejohanan yang disertai haruslah sampai ke separuh akhir atau akhir. Kita tidak mahu hanya satu kejohanan saja bagus selepas itu gagal mengekalkan aksi konsisten,” katanya yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996.

“Nasihat saya rapatkan jurang dan dapatkan kejuaraan. Mereka harus mempunyai keyakinan yang lebih untuk mencapainya (pemain perseorangan lelaki terbaik negara),” kata Rashid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 5:05 AM