ALAT bantu mendengar keluaran Nessa.
HELDER Araujo (kiri) dan Paula menunjukkan alat bantuan pendengaran Nessa.
UJIAN dijalankan untuk mengenal pasti tahap pendengaran.
Intan Mas Ayu Shahimi


Majoriti mengetahui kunci kepada perkahwinan bahagia ialah komunikasi. Dalam proses ini, komunikasi membolehkan pasangan menzahirkan fikiran dan emosi antara satu sama lain.

Namun, kita juga tidak sunyi daripada mende­ngar pasangan mengadu mengenai masalah komunikasi terencat antara mereka. Hari ini isteri berpesan membeli barang, esoknya suami selamba memberitahu tidak dipesan apa-apa. Sudahnya, sekelip mata rumah tangga berkocak dengan perkara remeh.

Andai berlaku sekali dalam setahun tidak mengapa. Tetapi jika terlalu kerap berulang, mungkin kita perlu mencari punca komunikasi dengan pasangan sering menemui titik pertelingkahan.

Adakah pasangan kita terlalu fokus kepada kerjanya ketika kita bercakap atau sebenarnya memang tidak mendengar apa yang kita perkatakan? Jika pertanyaan ini berlegar di fikiran, pernahkah kita bayangkan pasangan sebenarnya mempunyai masalah pendengaran?

Pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Operasi Nessa Helder Araujo berkata, masalah pendengaran berlaku apabila seseorang itu tidak boleh mendengar dengan sempurna. Mereka bukanlah tidak mendengar langsung, tetapi cenderung menjadi pekak dalam tempoh tertentu.

“Hilang pendengaran ialah dua perkataan yang kerap didengar, namun sering kali maknanya disalah tafsir. Dalam sistem tubuh manusia, pendengaran ialah deria kompleks yang membabitkan keupayaan kedua-dua telinga untuk mengesan bunyi atau frekuensi serta keupayaan otak untuk mentafsirkan apa yang didengar.

“Masalah pendengaran pula berlaku hasil ketidakupayaan mengesan frekuensi dengan baik seterusnya menjejaskan pendengaran. Situasi ini mungkin ringan bagi sesetengah orang, sederhana, sederhana teruk, teruk, atau akut.

“Perlu diketahui, sekali pun dilahirkan dengan pendengaran sempurna, rangsangan bunyi dan sekeliling masih membawa risiko pekak kepada sesiapa saja. Tidak dapat tidak, kualiti pendengaran boleh menurun pada mana-mana peringkat umur sepanjang kehidupan seseorang,” katanya.

Jelasnya, walaupun masalah pendengaran kerap berlaku dalam kalangan warga emas, peralihan zaman kini menunjukkan semakin ramai golongan muda berdepan isu pendengaran.

“Terdapat tiga kategori hilang pendengaran iaitu hilang pendengaran sensorineural, hilang pendengaran konduktif dan kombinasi kedua-duanya. Bagi kes hilang pendengaran sensorineural, ia terjadi disebabkan kerosakan kokia atau saraf auditori. Hilang pendengaran jenis ini biasanya bersifat kekal.

“Berbeza dengan hilang pendengaran konduktif, ia berlaku apabila gelombang bunyi tidak sampai ke bahagian dalam telinga. Ini mungkin berpunca daripada masalah tahi telinga yang banyak, kewujudan cecair atau kecederaan gegendang.

“Antara punca lain menyebabkan kehilangan pendengaran termasuk pendedahan terhadap bunyi bising yang berlebihan, tabiat mendengar muzik dengan kuat, menggunakan telefon bimbit dalam jangka waktu lama, jangkitan telinga, trauma atau penyakit telinga, kecederaan gegendang telinga akibat penggunaan putik kapas, pepijat atau benda asing serta kesan sampingan ubat-ubatan,” katanya.

KESAN KOREK TAHI TELINGA

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kadar hilang pendengaran dalam kalangan warga emas (berusia 65 tahun ke atas) tertinggi adalah di Asia Tenggara (48 peratus) dan Asia Pasifik (43.5 peratus).

Di peringkat global, terdapat 360 juta orang pekak dengan 91 peratus daripadanya dewasa dan bakinya kanak-kanak. Manakala 30 peratus daripada daripada 3.8 juta warga emas di Malaysia pula sudah di tahap hilang pendengaran.

Menurut Helder Araujo, kaji selidik yang dijalankan di Malaysia mendapati masalah hilang pendengaran konduktif lebih tinggi berbanding sensorineural atau kombinasi kedua-duanya.

“Ini mungkin disebabkan kurangnya kesedaran terhadap kaedah penjagaan telinga, khususnya penggunaan putik kapas atau pengorek telinga serta objek seumpamanya.

“Selain itu, kita juga melihat terlalu banyak petua tradisional diamalkan masyarakat di negara ini yang akhirnya mendatangkan kecederaan serta jangkitan terhadap organ pendengaran,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata, tahi telinga tidak perlu dibersihkan atau dikorek berikutan boleh menjejaskan kesihatan telinga, sekali gus dikhuatiri memudaratkan pendengaran.

Tidak kira sama ada menggunakan putik kapas, pengorek telinga diperbuat daripada besi, pin, kunci kereta atau apa saja bahan untuk mengorek atau mengeluarkan tahi telinga, perbuatan mengorek telinga memang tidak perlu dilakukan. Ini kerana tahi telinga mampu bertindak sebagai pelindung sama ada terhadap serangga mahupun debu kotoran.

“Dalam keadaan normal, tahi telinga keluar sedikit demi sedikit kerana lapisan kulit telinga mempunyai mekanisme yang akan mengeluarkannya secara berterusan. Apabila tahi telinga itu sudah terlihat, ambil tuala dan lapkan saja.

“Jangan sesekali mengorek telinga dalam-dalam kerana ia boleh menjejaskan kesihatan telinga. Peringatan ini bukan saja untuk dewasa, malah kepada semua, khususnya kanak-kanak dan bayi.

“Penggunaan putik kapas tidak akan membantu, sebaliknya berisiko menyebabkan tahi telinga semakin terbenam, melecet atau luka pada kulit telinga. Dalam kes tertentu, putik kapas mungkin juga tertinggal di dalam telinga,” katanya.

Perkara itu diperakui Pakar Audiologi Kanan Nessa Paula Pinheiro. Katanya, tahi telinga ialah bahan yang terdiri daripada serumen (lilin telinga). Hasil campuran keretin, debu, kotoran, lelemak dan bulu telinga akan membentuk tahi telinga.

“Tahi telinga bertindak sebagai pelindung kepada telinga kerana lendir atau cecair yang terkandung di dalamnya boleh memerangkap debu, menyukarkan pergerakan serangga serta mengelakkan jangkitan.

“Sebab itu ibu bapa dilarang mengorek telinga anak dengan apa saja bahan kerana bimbang boleh menyebabkan luka dan mengurangkan ketahanan organ berkenaan daripada sebarang jangkitan. Ini kerana telinga yang terluka akan mudah dijangkiti bakteria. Selain itu, amalan mengorek telinga juga boleh menyebabkan kerosakan pada gegendang telinga,” katanya.

MENGESAN MASALAH PENDENGARAN

Ketika masing-masing sibuk mengejar masa, menyempurnakan segala rutin harian, ramai tidak sedar mereka sebenarnya sudah kehilangan pendengaran. Bagi yang menyedarinya, mereka mudah terkeliru mengenal pasti kaedah rawatan bersesuaian dan betul.

Ada yang cuba memeriksa sendiri menggunakan putik kapas, namun tidak kurang juga yang mencari jalan keluar menerusi kaedah tradisional.

Jelas Paula, amalan standard yang dilakukan di Malaysia adalah dengan pergi berjumpa doktor, mengatur temu janji bersama pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) atau terus ke syarikat bantuan pendengaran.

“Bagaimanapun, tiada antara pilihan berkenaan boleh menguji, mengenal pasti, merawat, mengukur mahupun menyesuaikan alat bantu pendengaran yang betul kepada orang yang berdepan masalah pendengaran.

“Sebenarnya, kaedah paling berkesan adalah dengan merujuk kepada ahli audiologi yang pakar dalam menangani isu hilang pendengaran. Pakar audiologi ialah profesional terlatih yang mempunyai kebolehan mengukur atau mengenal pasti masalah pendengaran. Mereka berkelayakan mencadangkan serta memasang alat bantuan pendengaran kepada individu memerlukan,” katanya.

Menyedari ramai individu bermasalah enggan mengenakan alat bantu pendengaran atas faktor malu dan tidak mahu dilabel kurang upaya, Nessa cuba membawa perubahan menerusi pakej Smart Hearing yang ditawarkannya.

Kata Paula, individu bermasalah pendengaran tidak seharusnya malu untuk tampil lebih yakin di depan khalayak.

“Alat bantu pendengaran mempunyai konsep serupa dengan cermin mata. Fungsinya sebagai sistem sokongan untuk membantu mengawal kesihatan dan kualiti pendengaran.

“Malah, kehilangan pendengaran ialah sebahagian daripada proses semula jadi hidup dan berlaku seiring pertambahan umur. Penting untuk seseorang itu melakukan pemeriksaan pendengaran setiap tahun sama seperti mereka membuat pemeriksaan kesihatan tubuh dan mata.

“Jadi, kalau dikenal pasti dengan masalah kehilangan pendengaran, langkah yang betul adalah mendapatkan alat untuk membantu pendengaran anda. Di Nessa, kami menyediakan pakar audiologi dan penyelesaian terbaik, sesuai dengan kehendak semua.

“Alat bantuan pendengaran ini sangat ringan, selesa dan hampir tidak dapat dilihat dengan pandangan kasar. Ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada mereka yang enggan memakai alat bantu pendengaran. Paling penting, ia disertakan alat kawalan jarak jauh untuk keselesaan pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 5:56 AM