BERSAMA robot yang dihasilkan.
Mohd Sharumnisham Shahbudin

Pasukan Robotik Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu, Kedah mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi dua pingat emas dan Anugerah Khas IEE-RAS Young Inventor Award 2016 di Pertandingan IEE-RAS Japan International ROBOT PRIDE 2016 yang berlangsung di Hosei University, Tokyo, Jepun, baru-baru ini.

Guru penasihat pasukan, Muhamad Zaim Kassim berkata, projek KuPA Smart Boat yang dipertandingkan dalam kategori sekolah terbuka berjaya menambat hati juri sekali gus memenangi pingat emas dan terpilih menerima anugerah khas itu.

“Pasukan Robotik MRSM Kubang Pasu terdiri daripada lima pelajar tingkatan satu dan dua turut menerima pingat emas dalam acara ‘robot dance.’

“Pihak MRSM sangat berbangga dengan usaha keras pasukan ini menyediakan projek terbaik untuk ke pertandingan berkenaan dan akhirnya memperoleh kemenangan.

“Kami juga berharap projek KuPA Smart Boat mampu pergi lebih jauh dan dikomersialkan suatu hari nanti ,” kata Muhamad Zaim ketika ditemui di MRSM itu.

Pertandingan IEE-RAS Japan International ROBOT PRIDE 2016 diadakan bersempena IEEE International Symposium on Robotics and Intelligent Sensors (IEEE-IRIS2016).

Selain itu, ia berjaya menarik minat lebih 30 pasukan dari pelbagai negara seluruh dunia.

Empat acara dipertandingkan iaitu sekolah terbuka, universiti terbuka, industri terbuka dan ‘robot dance.’

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 6:10 AM