BEN Nathan ketika ditemui 2 Februari lalu. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Keadaan penyanyi Ben Nathan yang dimasukkan ke wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Khamis lalu dilaporkan baik.

Menurut sumber HKL, Ben, 54, tidak menunjukkan sebarang tindakan agresif sebaliknya kelihatan tenang dan selesa.

"Ben masih menerima rawatan dan dalam pemerhatian doktor. Buat masa sekarang pihak hospital belum mengeluarkan sebarang laporan lengkap mengenai keadaan kesihatannya.

"Ben baik-baik saja di sini. Dia juga kelihatan lebih tenang. Apa yang pasti penampilannya sekarang jauh lebih kemas berbanding sebelumnya. Cuma rambut saja masih sama," kata sumber itu.

Terdahulu pihak HKL mengesahkan Ben bebas daripada penggunaan dadah selepas menjalani ujian air kencing pada Khamis lalu.

Sementara itu, Presiden Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) Datuk DJ Dave bakal memulakan perbincangan dengan Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir atau Tan Sri JoJo bagi mengadakan persembahan makan malam khas bagi mengutip dana untuk Ben.

"Semalam Tan Sri ada menghubungi saya yang mana mahu meneruskan juga projek persembahan makan malam khas untuk Ben. Dia mengajak saya untuk berjumpa bagi perbincangan lanjut.

"Insya-Allah acara amal itu bakal dijalankan sebelum atau selepas sambutan hari raya. Ikutkan Tan Sri nak segera tapi saya memaklumkan perkara ini perlu dirancang secara teratur," katanya.

Ben yang popular menerusi lagu Stanza Sepi Sekeping Hati dibawa ke HKL oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Dave.

Ben sebelum itu pernah dipujuk beberapa kali oleh Dave namun dia berkeras dengan alasan selesa dengan kehidupan sebagai galandangan di sekitar Brickfield, Pasar Seni dan Jalan Travers.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 8:45 PM