Faezah nafi burukan produk kesihatan tertentu. FOTO HM
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Faezah Elai menafikan dia memburuk-burukkan nama produk kesihatan tertentu di laman Instagram miliknya, semalam.

Faezah, 35, ketika dihubungi berkata, dia hanya memberikan pendapatnya mengenai produk-produk kesihatan yang tidak mendapat pengiktirafan sekali gus boleh membahayakan kesihatan pengguna.

Terdahulu, Faezah dikecam sebahagian pemilik produk-produk kesihatan untuk menguruskan badan apabila memuat naik status berkenaan yang mempertikaikan keberkesanan produk-produk tertentu untuk menguruskan badan tanpa perlu bersenam.

Faezah turut didakwa sengaja berbuat demikian bagi melariskan produk kesihatan yang turut dikeluarkan sendiri.

“Adakah kerana saya artis, saya tak boleh berikan pendapat? Saya menulis status itu kerana terpanggil apabila ada beberapa kenalan yang bercerita mengenai bahaya produk kesihatan yang tidak diiktiraf pihak berkuasa.

“Lagi pun, saya menulis status itu secara umum dan kalau ada pihak yang terasa, maksudnya betullah ada yang tidak kena dalam produk yang mereka hasilkan. Siapa makan cili, dia terasa pedasnya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Faezah, walaupun dia sendiri memiliki produk kesihatan, tetapi dia tetap menyarankan agar mereka yang ingin turunkan berat badan dan menjaga kesihatan, melakukannya secara semula jadi.

“Saya sendiri pun ada produk kesihatan, tetapi kalau ramai yang mampu menurunkan berat badan secara semula jadi iaitu dengan bersenam dan mengawal pemakanan, itu lebih bagus. Kalau ada yang ingin menggunakan produk, pastikan ia sah dan mendapat pengiktirafan.

“Anda sebagai pembeli perlu bijak meneliti sesuatu produk. Jangan beli saja kerana janji-janji oleh penjual, tetapi anda sendiri yang terpaksa berdepan kesan sampingannya kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 6:30 PM