FD Iskandar (tiga dari kanan) ketika majlis penyerahan Tabung Bantuan Bencana Negara, semalam.

Petaling Jaya: Kerajaan negeri disarankan tidak menaikkan kadar caj premium dan kos pembangunan hartanah terhadap pemaju untuk mengelakkan kenaikan harga rumah secara mendadak.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, pihaknya melihat kenaikan caj premium yang tinggi bagi tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Apa yang saya lihat caj premium dikenakan kerajaan negeri pada tahap tiga peratus iaitu empat hingga lima tahun lalu, namun kini caj terbabit dinaikkan sehingga 18 peratus.

“Mereka turut memperkenalkan kos lain seperti kos pembangunan dan lain-lain apabila ia menyumbang kepada kenaikan harga rumah,” katanya pada media selepas majlis penyerahan Tabung Bantuan Bencana Negara, di sini, semalam.

Majlis itu menyaksikan Rehda mengumumkan sumbangan RM150,000 bagi membantu mangsa banjir di negeri terjejas teruk akibat bencana terbabit.

Beliau berkata, pihaknya percaya harga rumah boleh menjadi stabil dan tidak naik mendadak jika situasi itu dilihat dan dikaji semula khususnya bagi rumah mampu milik.

Ketika diminta mengulas mengenai cabaran dan prospek industri pembangunan hartanah 2015, FD Iskandar berkata, tahun depan dijangka sedikit mencabar terutama dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015.

Menurutnya, tahun ini juga dilihat mencabar bagi industri terutama dalam menghadapi kenaikan kos menjalankan perniagaan serta syarat pinjaman perumahan daripada bank yang semakin sukar.

“Kemudian, ia diikuti pelaksanaan GST tahun depan apabila kami menjangkakan penurunan daripada aspek jualan rumah bagi tempoh sembilan ke 12 bulan selepas pelaksanaannya.

“Perkara ini dilihat sebagai situasi normal memandangkan apabila cukai baru diperkenalkan maka ada penurunan daripada aspek jualan bagi tempoh tertentu sebelum kembali normal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 7:10 AM