NUR Qamarul Ramdhah.
TERDAPAT beberapa jenis meroyan mengikut ilmu perbidanan Melayu.
KEMURUNGAN atau meroyan perlu diberi perhatian.
Siti Nadirah Hafidzin

Mula mendiamkan diri, lebih banyak termenung, mudah menangis hingga kadangkala bercakap seorang diri. Keadaan itu berkait rapat dengan masalah kemurungan selepas bersalin atau lebih dikenali sebagai meroyan.

Ibu selepas bersalin berisiko tinggi mengalami kemurungan teruk dalam tempoh berpantang selepas kelahiran anak dan ia berlaku disebabkan perubahan hormon, masalah psikologi selepas bersalin dan pelbagai faktor lain yang mengundang tekanan hebat.

Selepas bersalin, ibu kehilangan banyak tenaga, berada pada keadaan mental dan fizikal yang lemah serta boleh dikatakan sebagai ‘kurang waras’ terutama pada minggu pertama dan kedua selepas bersalin.

Istilah kurang waras itu bukanlah menunjukkan ibu itu gila namun dalam tempoh terbabit, pelbagai risiko boleh terjadi terutama sekiranya berkaitan tekanan serta mengganggu emosi ibu terbabit.

Sabtu lalu, negara digemparkan kejadian menyayat hati apabila seorang bayi perempuan berusia dua bulan maut dipercayai dikelar ibunya di kuarters Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan.

Pada Oktober 2015, satu lagi kejadian membabitkan ibu selepas bersalin apabila seorang wanita yang baru 10 hari melahirkan anak dipercayai terjun dari rumahnya di sebuah pangsapuri di sekitar ibu kota kerana kecewa gagal menyusukan bayinya dengan susu badan.

Dua kejadian tragis itu membabitkan wanita yang baru melahirkan bayi dan dipercayai kedua-duanya mengalami masalah kemurungan selepas bersalin yang akhirnya mengakibatkan kesan yang sukar dipercayai.

Secara logiknya, sekiranya ibu berada dalam keadaan waras, dia tidak akan tergamak membunuh anaknya sendiri atau membunuh diri walaupun mengalami apa juga masalah.

Mengupas isu kemurungan selepas bersalin atau meroyan secara terperinci, bidan profesional dan terlatih yang mempunyai pengalaman dalam ilmu perbidanan tradisional lebih 10 tahun, Nur Qamarul Ramdhah Ahmad Rashidi berkata, kemurungan selepas bersalin atau meroyan tidak boleh diambil mudah.

“Mengikut pengalaman saya merawat kes meroyan atau kemurungan ini, ada antara penghidapnya yang sudah mengalami tekanan emosi sejak sebelum bersalin.

“Antara tekanan berkenaan berkait rapat dengan kepenatan menguruskan keluarga juga kerjaya serta masalah rumah tangga.

“Tekanan itu sudah disimpan di dalam hati tanpa diluahkan dan ia menjadi lebih teruk sebaik ibu melahirkan bayi,” katanya.

Menurutnya, namun tidak semua kes sebegitu kerana ada juga wanita yang mula mengalami kemurungan atau meroyan ini selepas bersalin.

“Keadaan ini perlu ditangani dan dikenal pasti segera kerana sekiranya ia tidak dirawat sehingga pada satu tahap kritikal, ibu berisiko besar mencederakan diri sendiri atau orang lain.

“Oleh itu, pengesanan awal amat penting bagi mengelak kejadian buruk ini terutama ibu daripada mengalami meroyan seumur hidup,” katanya.

Menurut Nur Qamarul Ramdhah, individu terdekat terutama suami seharusnya dapat mengesan perkara itu dengan lebih awal dan segera dirujuk kepada pihak berkaitan bagi menghindari perkara buruk.

“Menurut ilmu perbidanan Melayu, meroyan ada pelbagai jenis dan perlu dirawat segera demi kesejahteraan semua pihak terutama ibu dan bayi yang baru dilahirkan,” ujarnya.

Jenis meroyan:

- Meroyan api. Penghidapnya bersikap lebih garang, mudah marah dan berasakan segalanya tidak terkawal.

- Meroyan kentung. Ia menjadikan penghidapnya murung, hiba dan mudah berasa sedih.

- Meroyan tinggal. Kebiasaannya penghidap meroyan jenis ini bercakap seorang diri.

- Meroyan urat. Penghidapnya berasa ketegangn urat saraf dan mudah kejang selain seluruh badan mudah berasa sakit-sakit.

- Meroyan lendir. Wanita yang menghidapnya kelihatan pucat, lesu, berasa penat, badan semakin susut atau keguguran rambut.

- Meroyan bulu. Sering berasa seram sejuk atau terkena kancing gigi.

- Meroyan kulit. Badan berasa gatal walaupun selepas mandi atau sudah bersih.

Antara tanda kemurungan atau meroyan:

- Bercakap seorang diri

- Berhalusinasi

- Sering berfikir perkara tidak rasional

- Berasa tidak yakin atau waswas

- Keliru

- Tidak mempercayai sesiapa

- Mudah berasa marah tanpa sebab munasabah

- Murung dan tidak berminat melakukan apa-apa

- Mudah dan sering menangis

- Sering mengadu perkara tidak logik

Menurut Nur Qamarul Ramdhah, suami individu paling utama yang perlu memainkan peranan bagi mengelak dan mengatasi masalah ini.

“Berikan sokongan dan bantuan dari semua sudut kepada isteri yang baru melahirkan anak terutama dalam tempoh berpantang kerana ketika itu mereka amat memerlukan bantuan.

“Paling mudah dan paling utama, jangan biarkan mereka terlalu terbeban terutama dengan melakukan tugasan harian di rumah atau menjaga anak yang lain seorang diri,” katanya.

Menurutnya, selain bantuan fizikal, paling utama suami perlu menjaga soal emosi isteri dan jangan sesekali membiarkan mereka dalam keadaan tertekan.

“Bantu lakukan kerja rumah, cuba banyakkan masa bersama isteri dengan membantu menjaga anak, mendoakan dan yang paling utama seringlah mengaji atau berzikir bagi ketenteraman isteri.

“Ketika waktu berpantang, isteri masih dalam keadaan tidak bersih yang mengundang pelbagai gangguan mudah meresap masuk ke dalam diri serta fikiran isteri,” ujarnya.

Selain itu, suami juga boleh membantu dengan menasihati secara lembut kepada isteri mengenai perkara yang tidak baik bagi memastikan emosinya sentiasa terjaga.

“Jangan sesekali membiarkan individu negatif berada di sekeliling isteri terutama mereka yang suka bercerita perkara negatif kerana ia mungkin akan memburukkan keadaan.

“Individu negatif itu antaranya mereka yang suka berkata perkara tidak baik mengenai soal susu badan, bentuk badan atau apa saja perkara yang boleh mengganggu emosi isteri,” katanya.

Katanya, mana-mana ahli keluarga terutama suami yang berasakan sebarang perubahan terhadap isteri, perlu segera merujuk perkara berkenaan kepada pihak kesihatan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Rawatan kemurungan atau meroyan Antara rawatan yang dapat diberikan kepada ibu yang baru melahirkan bayi ini termasuk sokongan moral, emosi dan fizikal kepada mereka.

Menurutnya, ibu juga perlulah sentiasa berdamping dengan zikrullah, bacaan doa serta menambah ilmu agama pada saat diri tidak boleh menunaikan solat.

“Aspek penjagaan semasa tempoh berpantang juga amat penting seperti berurut dan bertangas kerana pada masa sama, ia dapat mengeluarkan gumpalan darah kotor yang masih berada di dalam rahim.

“Darah itu sekiranya tidak dikeluarkan juga boleh mengakibatkan masalah kesihatan seperti meroyan,” katanya.

Nur Qamarul Ramdhah berkata, jangan sesekali mengabaikan soal penjagaan semasa berpantang bagi membantu mengelak kemurungan atau meroyan.

“Nasihat, kaunseling dan ubat-ubatan juga boleh diberikan kepada individu yang mula menunjukkan tanda masalah itu. Masalah ini boleh diatasi sekiranya ada kesedaran awal daripada individu terdekat dan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu menangani masalah ibu kemurungan atau meroyan,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 5:02 AM