PELANCONG warga China dibawa ke Jeti Jeselton, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Oleh Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Sekumpulan lapan pelancong warga China termasuk tiga kanak berusia tiga tahun melalui detik cemas selama hampir 10 jam selepas bot penumpang yang dinaiki mereka kehabisan minyak dan dihanyutkan di tengah laut, di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud, 6.20 petang semalam.

Semua mangsa berusia tiga hingga 30 tahun ditemui selamat oleh anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu di tiga batu nautika laut barat laut Tanjung Pangitan Kota Belud pada 4.08 pagi tadi.

Pemangku Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Kota Kinabalu Komander Maritim Mohamad Soharto Mat Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan bot penumpang yang membawa pelancong warga China dari Pulau Mantanani menuju ke Kota Belud kehabisan minyak.

"Ketika itu, keadaan cuaca buruk dan laut bergelora dan bot penyelamat digerakkan untuk mencari bot penumpang di sekitar perairan Pulau Mantanani hingga ke perairan Kota Belud namun gagal.

"Pada 4.08 pagi tadi, bot penumpang ditemui di kedudukan tiga batu nautika barat laut Tanjung Pangitan Kota Belud bersama 11 mangsa terbabit iaitu lapan pelancong warga China dan tiga pengendali pelancong," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bot bersama semua mangsa yang ditemui selamat tiba di Jeti Jeselton, Kota Kinabalu, 7 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 9:55 AM