HALIMAH
HALIMAH
Agensi

Singapura: Rakyat Singapura sudah mula mengucapkan tahniah kepada Speaker Parlimen, Halimah Yacob kerana menganggapnya bakal presiden Singapura apabila pilihan raya bagi jawatan itu diadakan pada September depan.

Seorang penduduk dikenali sebagai Gong Xi Nee berkata: “Hebatnya Singapura mempunyai presiden wanita. Ini memang satu kemajuan untuk Singapura.”

Pengguna Internet lain berpendapat rakyat Singapura bijak kerana tidak akan terperangkap seperti negara lain dengan pemimpin yang tidak disukai.

Tou Piao berkata: “Tidak mahulah kita menjadi seperti Amerika Syarikat, apabila seseorang boleh menjadi presiden walaupun tidak disukai ramai.”

Semalam, akhbar Straits Times berkata di Twitter, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Chan Chun Sing “tersasul dan menyapa Halimah sebagai ‘Puan Presiden’ dan bukannya ‘Puan Speaker.’ Kesilapannya disambut gelak ketawa anggota dewan.”

Kejadian itu berulang dua kali dan pengguna Twitter menyoal sama ada ‘terlajak kata’ itu sebenarnya menyembunyikan satu kebenaran.

Chan membuat komen berkenaan ketika berbahas mengenai Rang Undang-Undang Pilihan Raya Presiden (Pindaan) yang diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti di Parlimen melalui ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP), semalam, walaupun dibantah semua anggota pembangkang.

Ia menetapkan pilihan raya presiden pada September ini dikhaskan untuk calon Melayu, selain mengehadkan aktiviti kempen calon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 8:29 AM