Reuters

Buenos Aires: Fabio Fognini (gambar) menggunakan sepenuh pengalamannya untuk mengalahkan Guido Pella dalam lima set sekali gus membantu Itali mara ke suku akhir tenis Piala Davis mengatasi juara bertahan Argentina, semalam.

Fognini bangkit untuk menang 2-6, 4-6, 6-3, 6-4, 6-2 pada perlawanan penentuan yang ditangguhkan Ahad lalu kerana hujan dan lampu tidak berfungsi.

Itali, yang tewas di laman sendiri pada suku akhir tahun lalu kepada Argentina yang menjuarai trofi itu buat kali pertama, akan berdepan Belgium pada suku akhir April ini selepas kemenangan 3-2 mereka.

Aksi di Parque Sarmiento di ibu negara Argentina itu agak tegang dengan sokongan padu penyokong tuan rumah termasuk tetamu istimewa Diego Maradona.

Fognini, 36 anak tangga berbanding Pella di tangga ke-48 dunia, bergelut untuk menyesuaikan diri dalam cuaca panas namun akhirnya berjaya menemui rentak pada set ketiga yang mengubah keputusan perlawanan.

Selepas kemenangan itu, dia menyanjung penyokong tuan rumah dan berjanji menghadiahkan bajunya kepada Maradona.

“Suasana normal, penyokong Argentina hebat dan Diego adalah Diego, kehadirannya sesuatu yang istimewa. Jika beliau datang ke bilik persalinan, saya akan berikan baju saya atau apa saja yang dimahukannya,” kata Fognini.

Itali kelihatan mampu mencatat kemenangan selesa selepas Paolo Lorenzi mengatasi Pella dan Andreas Seppi menundukkan Carlos Berlocq dalam dua aksi perseorangan pertama.

Namun Argentina, tanpa wira mereka ketika kejayaan 2016, Juan Martin del Potro dan Federico Delbonis, bangkit apabila Berlocq dan Leo Mayer menang aksi beregu dalam lima set ke atas Fognini dan Simone Bolelli.

Kemenangan maraton lima set Berlocq ke atas Lorenzi Ahad lalu, yang bermula jam 11 pagi waktu tempatan dan berakhir selepas 7.30 malam berikutan dua penangguhan kerana hujan, memaksa perlawanan penentuan diadakan pada Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 8:50 AM