PERISIC dilayangkan kad merah akibat komen terhadap pengadil.
PERISIC dilayangkan kad merah akibat komen terhadap pengadil.
AFP

Milan: Dua pemain Inter Milan, Mauro Icardi dan Ivan Perisic dikenakan penggantungan dua perlawanan kerana salah laku terhadap pengadil ketika kecundang 0-1 kepada Juventus, umum pegawai Serie A, kelmarin.

Ketika Juventus meraih kemenangan ke-18 musim ini Ahad lalu yang melonjakkan mereka enam mata di depan pasukan tangga kedua Napoli, Inter mengalami kekecewaan pada perlawanan terbaik liga setakat ini dengan tempat mereka ke Liga Juara-Juara makin terjejas.

Pemain tengah Croatia, Perisic dilayangkan kad merah kerana komen terhadap pengadil pada masa kecederaan.

“Pada minit ke-49 babak kedua (Perisic) berkali-kali mengulangi kata-kata yang tidak menghormati pengadil perlawanan,” menurut satu kenyataan Serie A.

Icardi berang berikutan kekasaran Giorgio Chiellini dan Mario Mandzukic, yang mana jurulatih Inter Stefano Pioli menyatakan sepatutnya diberikan penalti, tidak endahkan.

Pemain Argentina itu melahirkan rasa marahnya dengan ‘melakukan penghinaan dan isyarat biadab kepada pengadil selain menyepak bola ke arahnya, sekalipun tidak kena,” jelas kenyataan itu.

Keputusan itu menyebabkan Inter yang memenangi tiga kejuaraan pada 2010 apabila Jose Mourinho mengemudi kejayaan mereka dalam Liga Juara-Juara, di tangga kelima 12 mata di belakang Juventus.

Inter mungkin akan membuat rayuan namun Pioli berang selepas perlawanan itu: “Pada babak pertama kami mempunyai beberapa keputusan yang tidak menyebelahi kami apabila berada dalam kawasan Juventus. Bagi saya, ia jelas.

“Kami patut mendapat dua penalti pada babak pertama. Mandzukic dan Chiellini kedua-duanya mengasari Icardi dan apabila anda tidak mendapatnya, keseluruhan perlawanan berubah,” kata Pioli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 8:57 AM