DARI kiri, Tunku Ahmad, Dr Ramlan, Idrus, dan Wan Kamaruddin pada majlis pengumuman pasukan Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7 Sebelah, semalam.
DARI kiri, Tunku Ahmad, Dr Ramlan, Idrus, dan Wan Kamaruddin pada majlis pengumuman pasukan Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7 Sebelah, semalam.
Asrizal Aris

Kuala Lumpur: Pasukan sekolah tempatan bakal berdepan saingan baru lebih sengit daripada pasukan luar dalam merebut trofi NJ Ryan pada saingan Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7 Sebelah di Kuala Kangsar, Perak pada 24 hingga 26 Februari ini.

Dalam kejohanan sukan ragbi kategori bawah 17 tahun itu, penampilan kali pertama pasukan dari Indonesia, Sekolah Menengah Atas (SMA) Durunnajah serta pasukan Sekolah Sukan Hong Kong (juara 2015) antara pasukan luar yang bakal memberi cabaran hebat.

Selain itu, pasukan luar negara lain yang mengambil bahagian adalah Kolej Vajiravudh (Thailand) dan Sekolah Antarabangsa Australia (Singapura).

Pengarah kejohanan, Amrul Hazarin Hamidon (gambar) berkata, SMA Durunnajah tidak boleh dipandang rendah kerana pasukan ragbi itu agak terkenal di Indonesia.

“Selain itu, Sekolah Sukan Hong Kong juga bakal memberi cabaran hebat kerana mereka mempunyai pasukan ragbi B-12 tahun yang dilatih sejak sekolah rendah lagi.

“Saya percaya kejohanan kali ini lebih meriah kerana barisan pasukan tempatan juga sudah membuat persediaan awal terutama Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) selaku tuan rumah.

“Pasukan tempatan lain yang menjadi pilihan adalah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR),” katanya pada majlis pengumuman pasukan bertanding dan tajaan syarikat dengan NSTP menjadi rakan media kejohanan, di Bangunan The Malay College Old Boys Association (MCOBA), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Agensi Doping Malaysia Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, Presiden MCOBA Tunku Ahmad Burhanuddin, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia Datuk Shahrul Zaman Yahya, Ketua Pegawai Undang-Undang dan Integriti Telekom Malaysia (TM) Idrus Ismail dan pengerusi bersama kejohanan, Wan Kamaruddin Wan Mohamed Ali.

Dalam perkembangan sama, Shahrul Zaman berkata, kejohanan ragbi bawah 17 tahun yang berlangsung di MCKK akan menjadi platform untuk jurulatih kebangsaan mencari pemain baru menyarung jersi pasukan negara.

Kejohanan edisi ketujuh yang ditaja TM itu akan menyaksikan 24 pasukan mengambil bahagian membabitkan 20 pasukan sekolah dari seluruh negara kecuali Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 9:05 AM