Sudirman Mohd Tahir

Dengan sekali lafaz pelakon dan pengacara Eleena Sui, 25, sah bergelar isteri kepada lelaki pilihannya, Ahmad Faisya Mohd Bustaman, 31, Sabtu lalu di Restoran Terapung D’ Saji Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Pada majlis ringkas dan sederhana itu, Eleena menerima mas kahwin RM1,000 berserta lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak lelaki, manakala wang hantaran dirahsiakan.

Mengimbas kembali detik perkenalan mereka, Eleena atau nama sebenarnya Nor Eleena Hamzah berkata, ia bermula pada Mei 2014 di laman Instagram.

“Pada mulanya Faisya mengikuti perkembangan saya di Instagram. Kemudian dia menghantar mesej menerusi ‘direct massage’. Sesekali saja saya membalasnya kerana sibuk membantu keluarga berniaga. Disebabkan itu dia menyangka saya tak wujud dan akaun itu palsu.

“Selepas banyak kali dia mengajak untuk berjumpa, saya pun bersetuju. Tapi kami tak keluar ‘dating’ sebaliknya meminta dia menghantar saya ke lapangan terbang. Walaupun penerbangan saya pada waktu tengah hari, saya beritahu dia pagi.

“Saya fikir dia tak nak, tak sangka pula awal pagi sudah menunggu. Saya bukan nak mempermainkan dia, tetapi itu cara menguji sejauh mana tahap kesabarannya. Itulah pertemuan pertama kami,” katanya.

Selepas hampir setahun bercinta, Eleena yang juga pelakon drama Sayang Papa Saya Tak? mengambil keputusan bertunang pada April 2015.

Sepatutnya Eleena dan Faisya berkahwin pada tahun itu juga, namun terpaksa ditunda disebabkan ayah Faisya meninggal dunia.

Sepanjang hampir dua tahun bertunang, Eleena tidak berdepan dengan dugaan besar kerana Faisya bijak menyelesaikan masalah.

“Faisya peguam, jadi dia sangat tegas dalam banyak perkara. Malah dia bukan jenis yang suka memendam atau simpan dalam hati sekiranya kami ada perselisihan pendapat. Dia lebih selesa berterus terang dan segera menyelesaikan masalah itu.

“Lagi satu, Faisya juga jenis yang banyak tanya. Seboleh-bolehnya dia mahu mengetahui secara terperinci setiap apa yang saya lakukan. Bagaimanapun, saya okey saja dan ia bukan masalah besar.

“Mungkin disebabkan itu juga Allah mempermudahkan hubungan kami. Kalau bergaduh pun ia sekadar gaduh-gaduh manja. Kata orang sedangkan lidah lagi tergigit ini kan pula manusia. Jadi saya berdoa semoga perkahwinan kami berjalan lancar,” katanya.

Pada masa sama, Eleena tidak pernah menyembunyikan status sebagai tunangan orang, malah bangga dengan ikatan yang ada.

“Kalau ada yang bertanya saya sedia untuk berkongsi. Buat apa saya nak menipu kerana lambat laun orang sekeliling pasti tahu,” katanya.

Selepas majlis resepsi Ahad lalu, sekali lagi Eleena dan Faisya bakal diraikan dalam majlis bertandang yang diadakan di sebuah hotel di Putrajaya pada 18 Februari ini.

Biasakan diri

Memandangkan Eleena kini mula dikenali ramai, Faisya mengakui sudah bersedia menerima tempias itu.

Malah Faisya juga tidak pernah menghalang Eleena untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon dan pengacara.

“Sejak pembabitannya dalam dunia peragaan lagi saya sentiasa memberikan sokongan penuh. Malah ada ketika saya menjadi penasihat berkenaan soal bayaran. Apabila dia terjun dalam bidang seni pula, saya tidak menghalangnya.

“Sebagai suami saya menghormati apa saja keputusannya. Asal saja dia tahu batas dan tanggungjawab sebagai isteri. Mulai sekarang saya perlu membiasakan diri untuk mengikutnya ke acara hiburan sekiranya mendapat jemputan,” katanya.

Bagi Eleena pula, dia bertuah apabila suami tercinta menyokong minatnya.

Namun buat sementara waktu dia mahu berehat dan kembali sibuk pada April selepas pulang dari berbulan madu di Boracay, Filipina.

“Selepas drama Sayang Papa Saya Tak? ada beberapa tawaran lain menyusul. Saya perlu pertimbangkan kerana nak menyelesaikan semua majlis perkahwinan dan percutian selepas itu.

“Apabila memilih bidang ini sebagai kerjaya tetap, saya tak boleh berundur. Bagi saya status sebagai isteri bukan satu halangan jika pandai jaga diri.

“Dalam perkara ini suami sangat membantu dan dia yang banyak memberi sokongan kepada saya. Dia sentiasa memberikan kata-kata semangat selain menjadi pengkritik nombor satu saya. Pendek kata dia adalah tulang belakang saya selama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 11:41 AM