Reen akan ambil tindakan undang undang untuk jaga maruah.FOTO HM
Syanty Octavia Amry


Petaling Jaya: Pelakon Reen Rahim membuat laporan polis terhadap seorang wanita yang didakwa mengugut dengan niat hendak memburukkan reputasinya selepas pelakon itu enggan berkawan dengannya, kelmarin.

Reen, 29, ketika ditemui berkata, dia kecewa apabila wanita itu tergamak mengugutnya mahu menyebarkan gambar dan video peribadi Reen yang disimpan dalam telefonnya ketika mereka rapat sebelum ini.

"Sikapnya mencabar kesabaran saya. Tidak sangka dia tergamak mengambil kesempatan dengan menggunakan gambar-gambar serta video saya yang diambilnya ketika kami rapat.

"Selepas saya menjauhkan diri daripadanya, dia mula mengugut dengan mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan mengenai diri saya di Instagram,” katanya.

Reen membuat laporan di Balai Polis Damansara, malam kelmarin.

Reen berkata, dia mengenali wanita itu lima tahun lalu dan mula rapat dengannya kira-kira dua tahun lalu.

"Saya mengenalinya apabila dia menawarkan diri untuk membantu menguruskan kelab peminat saya selain melancarkan aktiviti seni saya.

“Saya tak nafikan kami memang rapat dan dalam tempoh itu saya meletak sepenuh kepercayaan kepadanya dan membiarkan dia mengendalikan laman Instagram saya," katanya.

Menurut Reen, atas beberapa sebab dia terpaksa menjauhkan diri daripada wanita itu baru-baru ini.

Namun, dia tidak menyangka tindakannya itu membuatkan wanita terbabit mula membuat hal dengan memburuk-burukkannya di Instagram.

"Perbuatannya memang melampau kerana ia menjejaskan maruah saya dan keluarga hingga saya terpaksa membuat laporan polis.

"Jika dia masih berdegil saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 3:44 PM