Reuters

Kingston: Pelari pecut Jamaica, Nesta Carter (gambar) akan kembali ke trek hujung minggu ini dalam kejohanan pertamanya sejak dilucutkan pingat emas Sukan Olimpik Beijing selepas ujian semula menyaksikan ada bahan larangan dalam sampelnya.

Sampel air kencing 2008 Carter yang diuji semula didapati mengandungi bahan larangan methylhexaneamine, menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bulan lalu.

Pasukan lari berganti-ganti 4x100 meter Jamaica yang termasuk Usain Bolt dilucutkan pingat emas mereka. Tahun lalu di Rio, Bolt melengkapkan ‘treble treble’ pingat emas Olimpik selepas menang acara 100, 200 dan 4x100 dalam tiga temasya Olimpik berturut-turut.

Bolt sudah memulangkan pingat berganti-ganti Beijing miliknya.

Carter menyatakan dia akan membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Carter, 31, yang tidak berlumba secara kompetitif selama 17 bulan kerana kecederaan dan kemudian dia diberitahu mengenai ujian positif itu, akan bertanding pada kejohanan Western Relays di Montego Bay, menurut pengurusnya Bruce James.

Carter tidak digantung oleh badan induk dunia IAAF dan badan olahraga Jamaica dengan IAAF mengesahkan dia boleh berlumba hingga rayuannya didengari.

“Selepas mendapat nasihat jabatan perubatan dan antidoping IAAF, jelas Carter ketika ini tidak digantung secara sementara,” kata ketua eksekutif IAAF Olivier Gers.

“Dia boleh bertanding dalam kejohanan olahraga bergantung kepada prosiding CAS.”

Carter mempunyai masa hingga 15 Februari ini untuk memfailkan rayuan kepada CAS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 7:48 AM