Mayat lelaki yang ditemui terapung di di perairan Sungai Taiwan, Sebatik, Indonesia, pagi ini. - Foto Ihsan PDRM
Norasikin Daineh


Tawau: Bayi sembilan bulan antara enam beranak daripada 13 mangsa yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di Tinagat, Tawau, petang kelmarin.

Mereka dikenal pasti susulan laporan polis dibuat waris mangsa pada 10.25 malam, semalam, memaklumkan ahli keluarga mereka berada dalam bot berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, Enam sekeluarga itu berasal dari Sulawesi, Indonesia, iaitu Amiruddin Beddure, 57, isterinya Hadra Hadde, 40, serta empat anak mereka, Taki Mohd Zaki, 6, Mohd Faiz, 4, Nurhafizah, 2, dan Mohd Asraf, 9 bulan.

Sementara itu, beliau mengesahkan satu mayat lelaki ditemui terapung di perairan Sungai Taiwan, Sebatik, Indonesia, pagi ini, berkemungkinan mangsa bot yang karam itu.

Beliau bagaimanapun berkata, lokasi tepat dan masa penemuan mayat itu belum diperoleh.

"Polis masih berusaha mendapatkan maklumat lanjut penemuan mayat itu daripada pihak berkuasa Indonesia," katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, mayat berkenaan berkemungkinan ditemui nelayan negara jiran sebelum menghubungi pasukan keselamatan Indonesia.

Menurut Fadil, selain enam beranak itu, polis juga sedang berusaha mengesan waris mangsa lain dalam bot berkenaan yang berada di daerah ini.

“Usaha sedang dilakukan bagi mengesan waris atau keluarga mereka yang berada di Tawau serta mengesan pemilik bot dan pengurus yang bertanggungjawab membuat penghantaran penumpang dari Batu Payung ke Sungai Nyamuk, Indonesia," katanya.

Menurutnya, pasangan suami isteri yang ditemui selamat petang semalam, akan diambil keterangan sekali lagi bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung kejadian itu.

Dua mangsa yang terselamat itu ialah warga Indonesia, Budiman Muslimin, 26, dan isterinya Hasmida Masaniaga, 24.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang semalam, kedua-dua mangsa ditemui orang awam selepas dilihat berenang ke pesisir pantai Kampung Batu Payung sambil meminta tolong.

Bot dinaiki mereka yang membawa 15 penumpang termasuk tekong, terbalik dipukul ombak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 11:02 AM