Nooraszlina diiringi anggota SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan meminta suapan bernilai RM20,000 pada 3 Februari tahun lalu. FOTO Hatim Ab Manan
Nooraszlina diiringi anggota SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan meminta suapan bernilai RM20,000 pada 3 Februari tahun lalu. FOTO Hatim Ab Manan
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Seorang pembantu kedai didenda RM100,000 dan dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, tengah hari tadi, atas kesalahan meminta suapan pada Februari tahun lalu.

Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Nooraszlina Ismail, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara rasuah meminta daripada Mohd Rafi Md Hasin suapan wang tunai sebanyak RM20,000 sebagai dorongan menolong menyelesaikan kes Anuar Abdullah yang dikatakan mempunyai kes berkaitan rasuah.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Kampung Lendu Dalam, Alor Gajah, di sini, jam 8.15 malam, 3 Februari 2016.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammed Heikal Ismail memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ditangguhkan kerana perlu menyelesaikan urusan keluarga serta tidak mempunyai sumber kewangan selain perlu menanggung lima anak.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan dan didenda RM100,000 serta enam bulan penjara jika gagal membayar denda dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 2:04 PM