GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Shayaumil Qhairil Eemann


Putrajaya: Penumpang penerbangan AirAsia AK6440 ke Kota Bharu terkilan kerana terpaksa berpanas di dalam pesawat selama dua jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), semalam selepas penerbangan mereka ditangguh.

Difahamkan, penerbangan itu sepatutnya berlepas dari klia2 pada 4.30 petang semalam, namun masalah teknikal menyebabkan pesawat berkenaan berlepas pada 6.30 petang.

Sementara masalah teknikal itu diselesaikan, penumpang tidak dibenarkan keluar manakala pendingin hawa dimatikan.

Seorang penumpang, Mohd Abdullah Osman, 34, berkata, pada mulanya juruterbang memaklumkan penumpang menunggu 20 minit sahaja di dalam pesawat, namun tempoh itu berlarutan hampir dua jam.

"Pihak penerbangan sepatutnya memaklumkan dengan jelas mengenai kelewatan ini supaya tidak mencemaskan penumpang yang berada dalam pesawat," katanya ketika menghubungi Harian Metro.

Seorang lagi penumpang, Maisara Mohammad, 38, berkata, mereka sepatutnya dibawa keluar dari pesawat dan tidak perlu menunggu terlalu lama.

"Bagaimanapun, kami tidak dibenarkan keluar dan terpaksa berada dalam suasana panas sekali gus keadaan ini sangat mengecewakan kami," katanya.

Sementara itu, AirAsia dalam kenyataan hari ini, memohon maaf kepada penumpang yang terbabit dalam insiden itu.

AirAsia berkata, penangguhan penerbangan bagi pesawat AK6440 dilakukan susulan masalah teknikal yang dihadapi.

"Keselamatan penumpang menjadi keutamaan, justeru kami mohon maaf atas kesulitan yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 10:22 PM