Lakaran pelukis Bandar Sukan Kuala Lumpur, venue utama Sukan SEA 2017.
Lakaran pelukis Bandar Sukan Kuala Lumpur, venue utama Sukan SEA 2017.
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menganugerahkan sebarang tender pembekalan peralatan gimnastik kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan pegawai Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF).

KBS dalam kenyataan berkata, syarikat itu ada menghantar bidaan tetapi Rukun Juang Sendirian Berhad (RJSB), iaitu kontraktor utama kepada projek Bandar Sukan Kuala Lumpur menyedari percanggahan kepentingan itu.

"Justeru itu, pada 6 Januari lalu, RJSB mencadangkan agar tender ini dibatalkan dan tender perolehan peralatan gimnastik ini dilaksanakan semula.

"KBS bersetuju dengan cadangan itu kerana RJSB memaklumkan pembatalan dan pelaksanaan semula proses tender ini berpotensi memberikan penjimatan kepada kos projek dan kerajaan.

"Setelah itu, KBS memutuskan agar proses perolehan untuk kesemua peralatan sukan bagi projek Bandar Sukan Kuala Lumpur dilaksanakan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM)," menurut kenyataan itu hari ini.

PSM selaku pemilik venue dilantik bagi memastikan pelarasan dan kelancaran pembekalan termasuk proses tender bagi pembekalan peralatan gimnastik.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa panel termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) menerima bidaan daripada syarikat itu sekaligus dilihat bertentangan dengan ikrar integriti Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Projek Bandar Sukan Kuala Lumpur membabitkan penyediaan dan penaiktarafan venue sukan termasuk pembangunan plaza dan infrastruktur berskala besar.

Acara gimnastik bagi Sukan SEA akan berlangsung di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bersama tujuh sukan lain iaitu tinju, lawan pedang, hoki dalam dewan, muaythai, ping-pong, bola tampar dan angkat berat.

Sukan SEA dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos ini manakala Sukan Para ASEAN akan diadakan dari 17 hingga 23 September.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 11:12 PM