ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa. FOTO ihsan bomba
Azlan Hafeedz


Pasir Puteh: Kanak-kanak lelaki ditemui lemas di Sungai Gaal dekat Kampung Gaal Tengah, di sini, malam tadi.

Adam Mukhriz Hasmi, 11, yang juga murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Gaal ditemui tertiarap di dasar sungai oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Dia sebelum itu dikatakan ke sungai berkenaan yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya untuk mandi-manda bersama tiga rakan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 7.11 malam tadi.

"Lapan anggota diketuai saya tiba di sana sembilan minit kemudian dan melakukan kerja pencariaan di dalam sungai.

"Mangsa ditemui tertiarap di dasar namun tidak dapat dikeluarkan kerana kedalaman sungai lebih tiga meter dan air keruh.

"Selaman kedua yang dibantu penggunaan tali dan jaket keselamatan membolehkan mangsa dikeluarkan sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi berlangsung selama 19 minit dan ditamatkan pada 7.40 malam.

Mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk tujuan dibedah siasat dan dituntut keluarga pada 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 12:00 AM