A RAZAK (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon.
RAJA Ilya dan Taufik pertama kali digandingkan.
Ramlah Zainal


Bertemakan genre komedi romantik, Soulmate Hingga Jannah bukan saja menghiburkan malah memberikan kelainan kepada penggemar filem tanah air.

Filem arahan Datuk Profesor A Razak Mohaideen ini mempertaruhkan gandingan mantap pelakon dan penyanyi terkenal dari Singapura, Taufik Batisah dan Raja Ilya buat julung kalinya.

Ia dimantapkan lagi dengan penampilan primadona filem Melayu, Erra Fazira, Douglas Lim, Reen Rahim dan Nad Zainal.

Menurut Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini, Soulmate Hingga Jannah berbeza daripada filem garapannya, Anak Mami Nasi Kandaq yang ditayangkan di pawagam tempatan tahun lalu.

“Sebelum ini, saya sering tampil dengan filem Anak Mami. Kali terakhir saya hasilkan filem berkonsepkan cinta ialah Kuliah Cinta pada 2006. Kini, saya bawakan cerita yang berbeza dan ada keistimewaan tersendiri.

“Soulmate Hingga Jannah menceritakan seorang suami, Azmeer yang setia terhadap janji pada arwah isterinya, Khalisa. Tetapi konflik timbul apabila dia jatuh cinta dengan seseorang yang mirip seperti isterinya,” katanya.

Ditanya mengenai judul filem itu, kata Razak, pada mulanya judul asal filem itu ialah Soulmate.

“Namun, pihak kami terpaksa menukar judul kepada Soulmate Hingga Jannah untuk memenuhi syarat yang ditetapkan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) yang tidak mahu filem Melayu menggunakan judul Inggeris.

“Selepas berbincang dengan LPF, akhirnya mereka bersetuju mengekalkan judul Soulmate, tetapi perkataan itu perlu dalam bentuk Italic,” katanya.

Razak ditemui pada majlis tayangan filem Soulmate Hingga Jannah yang berlangsung di pawagam Cineleisure, Damansara, baru-baru ini.

Kekuatan barisan pelakon

Razak memilih Taufik selaku teraju utama filem itu kerana dia percaya dengan bakat besar yang dimiliki pelakon dari Singapura itu.

“Ramai mengenali Taufik sebagai penyanyi dan kali ini pihak kami tampilkan sisi berbeza Taufik di layar perak. Watak Azmeer juga memerlukan pelakon yang matang dan berusia 30-an dan sesuai dengan Taufik.

“Saya puas hati kerana Taufik berjaya melakonkan karakter Azmeer yang juga bos dalam cerita ini dengan baik seperti dikehendaki skrip. Saya juga memilih Taufik bergandingan dengan Raja Ilya selepas proses uji bakat watak hero dan heroin dilakukan.

“Raja Ilya juga dikenali dengan watak antagonis dan kali ini kita tampilkan dia membawa watak berbeza sesuai dengan bakat besar dimilikinya,” katanya.

Pada masa sama, kata Razak, pemilihan Taufik juga untuk menarik peminat filem Melayu di Singapura.

“Taufik bukan saja dikenali di Singapura tetapi di Malaysia. Filem ini juga ditayangkan serentak di lima pawagam di Singapura pada 16 Februari ini,” katanya.

Razak berkata, penampilan Erra Fazira juga seperti dikehendaki karakter dan skrip sekali gus menjadi tarikan pada penonton.

“Watak Erra juga bos dalam cerita ini dan kita perlukan pelakon yang matang sepertinya. Begitu juga watak lakonan Douglas yang lucu dan spontan untuk menampilkan suasana sebenar di pejabat.

“Saya berharap peminat tidak akan melepaskan peluang menonton lakonan Erra dalam filem ini,” katanya.

Penggambaran filem itu dilakukan di Chiang Mai, Thailand selama dua minggu, Januari tahun lalu. Ia disusuli lokasi sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam, Petaling Jaya dan Klang.

Filem edaran Alternate Pictures ini mula menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 16 Februari ini.

Sinopsis

Soulmate Hingga Jannah memaparkan Rokiah, gadis kampung yang ‘comot’, selamba dan penuh semangat mendapat tawaran bekerja di syarikat korporat di Kuala Lumpur.

Rokiah juga tidak menyangka dia terpaksa berdepan dengan kerenah majikannya, Azmeer yang sombong dan berkarakter baran, ‘terlalu jujur’ dan menggelar dirinya sendiri ‘Mr. Perfect’.

Namun, di sebalik kebengisan Azmeer, tersimpan satu rahsia, iaitu janji Azmeer kepada arwah isterinya, Khalisa agar tidak berkahwin lagi atau mendekati mana-mana wanita yang dapat menggantikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 5:01 AM