Norasikin Daineh dan Amniera Naziera Amran


Kota Kinabalu: Dua daripada enam mangsa bot karam di perairan Tinagat, Tawau, petang Selasa lalu, yang masih hilang, termasuk juragan bot dan seorang penumpang, selamat.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata hasil siasatan dan maklumat diperolehi polis, seorang penumpang warga tempatan Mansur Umar, 25, ditemui selamat.

“Bagaimanapun, Mansur tidak melaporkan dirinya kepada polis sebaliknya pulang ke rumah. Dia hanya diketahui selamat selepas tampil memberitahu dia antara penumpang bot berkenaan.

“Menurut Mansur, juragan bot iaitu Ardinsyah Abbas, 24, juga selamat namun polis belum dapat mengesannya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Mohd Zubil, semua siasatan dilakukan polis dan pihaknya yakin Ardinsyah akan dapat dikesan.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 6 petang Selasa lalu, bot dinaiki 15 orang karam dipukul ombak ketika dalam perjalanan dari Kampung Batu Payung menuju Sungai Nyamuk, Indonesia.

Dua penumpang ditemui selamat sehari kemudian, manakala tujuh mayat sudah ditemui di perairan Indonesia semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 12:08 PM