Mazizul Dani


Semenyih: Kemunculan buaya di Kampung Pasir Baru di sini sejak beberapa minggu lalu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk.

Sejak sekian lama hidup dengan tenang dan aman, mereka tiba-tiba dihantui perasaan bimbang selepas berita kemunculan reptilia itu mula diperkatakan.

Warga emas Rohani Idris, 62, yang lahir dan membesar di kampung itu berkata, Sungai Semenyih dahulunya menjadi lokasi penduduk beriadah.

"Memang tak pernah dengar atau nampak buaya di sungai. Sekarang ni tengok Facebook (FB), eh, ada buaya ke di sini, mana datangnya?

"Saya fikir mungkin ada orang lepaskan ataupun ada yang bela di kawasan ini. Tapi tak tahulah kalau sebaliknya sebab tiba-tiba story (cerita) buaya ni tersebar," katanya ketika ditemui Harian Metro hari ini.

Rohani berkata, kampung itu wujud sejak zaman penjajahan Jepun tetapi hanya menggunakan nama Kampung Pasir Baru pada 1972 dan kini didiami lebih 2,000 penduduk.

Bagi Norisah Adnan, 50, penduduk kampung kini perlu sentiasa berwaspada memandangkan pelbagai risiko boleh berlaku selepas kemunculan buaya ini.

"Masa kecil dulu ada juga mandi sungai tapi memang tiada buaya. Jadi sekarang ini memang bahaya sebab macam mengganggu ketenteraman kampung.

"Takut juga sebab buaya ini binatang ganas. Takut terjadi apa-apa di kampung ini memandangkan penduduk ada juga mencari ikan di sungai," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan reptilia itu mula dilihat di kawasan paya 30 meter dari rumah kongsi warga asing dan 3 kilometer (km) dari kawasan kampung Ahad lalu.

Gambar buaya itu dimuat naik Syahrul Ambia, 37, di FB pada Isnin, dan difahamkan buaya itu berjemur di kawasan paya antara 10 hingga 12 tengah hari.

Syahrul berkata berdasarkan saiz dan warna yang diperhatikan, dia percaya sekurang-kurangnya tiga ekor buaya berjemur di kawasan itu.

"Risau juga saya sebab sungai ini juga tempat penduduk memancing ikan dan mandi. Jadi semua pun terkejut apabila saya memuat naik gambar buaya itu.

"Saya nampak dalam tiga hari ini, tetapi pekerja (warga asing) yang tinggal di sini mendakwa mereka pernah lihat buaya itu sejak dua minggu lalu," katanya.

Sementara itu, anak buaya sepanjang 1.5 meter ditangkap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di paya itu kelmarin sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia Abdul Kadir Abu Hashim pula berkata, penduduk tidak perlu panik kerana pihaknya mendapati tiada kesan atau kemunculan reptilia itu setakat ini.

Namun pihaknya akan terus menjalankan operasi pemantauan bagi menjamin keselamatan penduduk sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 12:01 AM
KAWASAN di mana buaya dilihat oleh Syahrul. FOTO Khairus Ramli