X
Oleh Ramlah Zainal

Terlalu banyak kontroversi dan gosip cinta yang memualkan dikaitkan dengan namanya sepanjang tahun lalu.

Selepas putus cinta dengan pelakon Azwan Kombos dan Hefny Sahad, nama pelakon muda yang dikenali menerusi drama bersiri Kampung Girl, Nad Zainal turut dikaitkan dengan dua lagi rakan artis iaitu aktor kacak Remy Ishak dan Shah Iskandar.

Justeru, tidak hairanlah cerita perkembangan karier seni pemilik nama sebenar Farah Nadia Zainal Abidin, 25, ini agak tenggelam.

"Saya ingin buka 'buku baru' sempena tahun baru ini. Cukuplah cerita buruk dan kisah cinta yang disogokkan kepada peminat sebelum ini.

"Pada masa sama, saya juga tidak mahu terlalu banyak menjaja kisah cinta kepada peminat hingga mereka terlupa perkembangan karier seni yang diceburi. Sampai masanya, saya fokus kepada perkembangan karier seni yang menjadi minat dan keutamaan sekarang.

"Bukan saja fokus pada karier seni yang juga periuk nasi, saya juga selesa dengan status solo sekarang dan meletakkan cerita peribadi ke tepi dulu," katanya.

Walaupun sering dihimpit kontroversi, Nad masih mendapat kepercayaan pengarah telefilem dan drama. Malah, tawaran berlakon tidak pernah putus diterima pelakon berbakat besar ini.

Namun, seiring dengan kedatangan tahun baru, Nad mengakui dia menanti naskhah yang lebih mencabar lakonannya.

"Bukan 'demand' sebaliknya sampai masanya saya memilih watak berat dan lebih matang untuk terus memantapkan prestasi lakonan dan mencari kepuasan dalam lakonan. Antaranya projek drama terbaru dengan watak psiko arahan Michael Ang tidak lama lagi," katanya.

Buat masa ini, Nad juga sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri yang diangkat daripada novel popular berjudul Street Vendetta bergandingan dengan pelakon baru Syarul Ridzwan untuk saluran RTM.

Antara drama lakonannya sebelum ini ialah drama bersiri Antidot (TV3), Jalan Mati, Tuan Rumah Pembantu Rumah, telefilem Mengintai Syurga Mama dan banyak lagi.

Nad bermonolog dalam Diari Wanita

Kali terahir, Nad Zainal beraksi ialah di pementasan Maduku Kalut yang dipentaskan di Istana Budaya (IB), setahun lalu.

Justeru, bekas penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini mengakui tidak sabar untuk kembali berlakon, sekali gus mengubat rindu pada dunia teater.

Terbaru, Nad dilamar untuk beraksi dalam pementasan Diari Wanita arahan Rosminah Tahir (Kak Ros) terbitan CTRA Production.

Diari Wanita adalah pementasan teater yang menggabungkan dua cerita dalam satu persembahan iaitu Kak Ani (karya Kak Ros) dan Nyonya (Wisran Hadi).

Cerita Kak Ani berdasarkan kisah hidup Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang melalui sejarah panjang sebelum menjadi menteri.

"Secara peribadi, saya sangat teruja apabila ditawarkan berlakon dalam pementasan ini. Maklumlah, saya sudah lama ingin bekerja dengan Kak Ros yang juga bekas pensyarah di ASWARA dulu.

"Saya masih ingat lagi, kalau berselisih dengan beliau (Kak Ros) di ASWARA dulu, semua penuntut sudah lari masuk dalam kelas. Kini, saya sudah bersedia untuk bekerjasama dengannya.

"Walaupun saya berasa takut dan gementar kerana beliau memang dikenali sebagai pensyarah dan pengarah teater yang tegas dan garang tetapi saya letakkan semuanya di tepi kerana ingin mendalami ilmu dengannya," katanya.

Bercerita lanjut mengenai wataknya, kata Nad, dia ditawarkan watak setiausaha menteri dalam pementasan berkenaan.

"Saya terbabit dalam monolog Kak Ani dalam naskhah ini. Sebagai persediaan, saya juga mengkaji sejarah hidup beliau yang berasal daripada anak tukang cuci yang miskin serta ibu tunggal yang gigih membesarkan tiga anaknya.

"Apa yang mencabar, saya perlu bermonolog atau bermain dengan emosi dalaman seorang diri di pentas selama setengah jam dalam teater ini," katanya.

Teater Diari Wanita mempertaruhkan barisan pelakon hebat seperti Khatijah Tan (Kak Ani), Misha Omar (Keponakan Cantik), Amy Mastura (Keponakan Anggun), Sherry Alhadad (Nyonya), Juhara Ayob (Keponakan Beautiful) dan Shahrul Mizad Ashari (Tuan).

Pementasan ini membabitkan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta IB dan bakal dipentaskan di Panggung Sari IB, Kuala Lumpur bermula 11 hingga 16 Februari depan.

Harga tiket untuk menyaksikan pementasan ini ialah RM35, RM55, RM85 dan RM155. Pembelian boleh dibuat menerusi www.airasiaredtix.com. Maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-61866592.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:01 AM