PEMAIN Czech (dari kiri) Karolina, Lucie Safarova, Petra Pala, Barbora Strycova dan Katerina Siniakova .

Paris: Republik Czech memulakan pemburuan gelaran Piala Fed buat kali keempat berturut-turut minggu ini tetapi di dalam saingan Kumpulan Dunia, hanya dua daripada 10 pemain teratas akan mengambil bahagian.

Kedua-duanya akan tampil di Ostrava dengan pemain nombor tiga dunia Karolina Pliskova mengetuai cabaran Czech yang akan menentang Sepanyol diketuai Garbine Muguruza - pemain nombor tujuh dunia.

Tetapi di Hawaii, Amerika Syarikat yang juga juara 17 kali, akan turun tanpa pemain nombor satu dunia Serena Williams serta Madison Keys yang cedera dan mereka akan menentang Jerman yang tidak menampilkan Angelique Kerber - pemain ranking kedua tertinggi dunia.

Dalam Kumpulan Dunia II, 10 pemain teratas dunia, Simona Halep, Dominika Cibulkova dan Svetlana Kuznetsova tidak bermain untuk Romania, Slovakia dan Russia.

Czech tidak pernah tewas perlawanan Piala Fed sejak hampir empat tahun lalu manakala Sepanyol tidak pernah layak ke separuh akhir sejak 2008.

Impian Sepanyol bagaimanapun sedikit terjejas apabila Carla Suarez Navar
ro tidak dapat bermain dan tempatnya selaku perseorangan kedua akan digantikan dengan pemain di ranking ke-70 dunia Laura Arruabarrena.

Czech pula boleh menurunkan empat pemain yang menduduki kelompok ranking 50 terbaik dunia dan hanya tidak dapat menyenaraikan juara Wimbledon dua kali Petra Kvitova yang cedera.

Amerika Syarikat mahu layak ke separuh akhir pertama sejak 2010 dengan jawatan selaku kapten kini dipikul Kathy Rinaldi yang menggantikan Mary Joe Fernandez.

Tanpa khidmat adik beradik Williams selain Madison, cabaran Amerika Syarikat akan dikukuhkan dengan pemain nombor 20 dunia Coco Vandeweghe.

Jerman pula mempertaruhkan Laura Siegemund yang bakal beraksi selaku pemain perseorangan pertama ketika pemain yang menduduki ranking ke-38 dunia itu tidak pernah beraksi di Piala Fed. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 9:19 AM