Nayan Mad, 65, suami jemaah umrah, Salmah Mohd Yusof, 67, yang diserang strok ketika mengerjakan umrah 13 Disember 2016 lalu di Hospital Putrajaya. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Nayan Mad, 65, suami jemaah umrah, Salmah Mohd Yusof, 67, yang diserang strok ketika mengerjakan umrah 13 Disember 2016 lalu di Hospital Putrajaya. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Warga emas yang diserang strok ringan ketika mengerjakan umrah 13 Disember 2016, Salmah Mohd Yusof, 67, tiba di Hospital Putrajaya (HPj), di sini, untuk mendapat rawatan lanjut sejurus tiba dari Jeddah.

Salmah dan suami Nayan Mad, 65, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang jam 12.45 tengah hari dengan menaiki pesawat Saudi Airlines SV832 diiringi seorang jururawat khas dari Jeddah.

Dia kemudian terus dibawa ke HPj menaiki ambulan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Salmah berjaya dibawa pulang ke tanahair atas inisiatif seorang wanita yang tinggal di Makkah, Amera Sabrena Ahmad Sobri, 28, dengan melancarkan Tabung khas #PrayForMakcikSalmah selepas hampir dua bulan terlantar Hospital King Faisal Makkah,

Tabung khas yang dilancarkan akhir bulan lalu meraih dana keseluruhan berjumlah RM40,000 hanya dalam tempoh 72 jam.

Dana sumbangan itu diperlukan bagi menampung kos pesawat khas yang memerlukan Salmah dibawa dengan perkhidmatan khas penerbangan Saudi Airlines.

Sementara Nayan yang juga pesara tentera berkata, dia amat gembira kerana dapat membawa pulang isterinya pulang ke tanahair selepas hampir dua bulan dirawat di hospital Hospital King Faisal Makkah.

Katanya, kesukaran untuk menjaga isteri sepanjang dirawat membuatkan dia berusaha sedaya upaya untuk membawa pulang isteri sebelum bertemu dengan Amera Sabrena.

"Amera Sabrena banyak membantu saya dari segi proses dokumentasi, prosedur dan mendapatkan dana sehingga saya dapat membawa isteri balik ke Malaysia.

"Hanya Allah sahaja dapat membalas jasa semua pihak yang banyak membantu segala urusan dan memberi nasihat serta sokongan kepada kami,"katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya di sini, hari ini.

Nayan dan isteri ke Tanah Suci bersama 13 ahli keluarga lain pada 6 Disember lalu untuk menunaikan umrah, sebelum Salmah diserang sawan pada 13 Disember ketika ingin solat Subuh.

Salmah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari sebelum dipindahkan ke wad biasa, bagaimana pun warga emas itu

diserang strok ringan dan memerlukan penjagaan rapi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 4:35 PM