KEYLOR Navas
KEYLOR Navas
YACINE Brahimi
YACINE Brahimi
JOEL Campbell
JOEL Campbell
VINCENT Enyeama
VINCENT Enyeama
JAMES Rodriguez
JAMES Rodriguez

Kehebatan mereka terserlah sewaktu Piala Dunia baru-baru ini, sekali gus menghimpun peminat baru. Namun apakah yang berlaku di Brazil mungkin bayangan sebenar kemampuan mereka atau ilusi semata-mata?

* 1. Keylor Navas, Costa Rica

Costa Rica memberi kejutan kepada Piala Dunia kali ini, mendahului kumpulan yang terdiri daripada Itali, Uruguay dan England, menyingkirkan Greece sebelum tewas kepada Belanda di saingan suku akhir menerusi penentuan penalti.

Semua itu tidak akan berlaku tanpa aksi luar biasa penjaga gol mereka,Keylor Navas. Penjaga gol berusia 27 tahun itu memenangi anugerah pemain terbaik perlawanan sebanyak empat kali dalam kejohanan itu, sama seperti Lionel Messi dan selepas itu menyertai Real Madrid yang menebus kontraknya dari Levante dengan bayaran £7.9 juta (RM42.9 juta).

Bagaimanapun Navas masih belum menjadi pilihan utama kelab barunya, hanya membuat empat penampilan memandangkan Madrid terus mempercayai Iker Casillas, yang biarpun menempuhi detik sukar pada Piala Dunia dan dianggap sudah ketinggalan zaman.

Casillas begitupun kekal hebat di Bernabeu dan diharap Navas masih mampu memberikan aksi terbaiknya selepas ini.

* 2. Guillerma Ochoa, Mexico

Seorang lagi penjaga gol hebat Piala Dunia yang tersadai di bangku simpanan. Penjaga gol Mexico itu mengumumkan pada akhir musim lalu, tidak akan memperbaharui kontraknya di Ajaccio, yang memberikan kejayaan tiga musim buatnya.

Persembahan hebat di Brazil membuatkannya dikaitkan dengan beberapa kelab hebat Eropah, khususnya Barcelona dan Liverpool. Dia kemudiannya menyertai Malaga tetapi gagal mengetepikan penjaga gol Cameroon sebagai penyarung jersi No 1.

Masih gagal membuat sebarang penampilan musim ini dan dikhabarkan tidak gembira diketepikan. Khabar angin mengenai perpindahan semakin kencang, sekali lagi dikaitkan dengan Liverpool. Ada baiknya jika Simon Mignolet berwaspada.

* 3. Yacine Brahimi, Algeria

Bekas pemain remaja Perancis yang lincah dan kreatif itu muncul antara pemain tengah paling menakjubkan di Piala Dunia, mengemudi gerakan Algeria dengan penuh gaya dan bijaksana. Porto membelinya dari Granada pada harga 6.5 juta euro (RM27.6 juta) selepas kejohanan itu, ketika kelab gergasi yang lain agak ragu-ragu berikutan susuk fizikal pemain itu yang rendah.

Brahimi membuktikan bahawa saiz tubuh bukan alasan apabila pemain berusia 24 tahun itu terus membanggakan kelab Portugal itu, menjaringkan hatrik ke atas BATE Borisov dalam Liga Juara-Juara selain meraih kemenangan ke atas Atletico Madrid. Dia antara pemain tengah menyerang terbaik dunia dan baru-baru ini dipilih sebagai pemain terbaik tahunan Afrika.

* 4. Joel Campbell, Costa Rica

Pemain itu yang sebelum ini tidak pernah berada dalam koleksi pelekat Panini Piala Dunia akhirnya muncul sebagai antara pemain paling menyerlah dalam laluan Costa Rica ke suku akhir. Penyokong Arsenal tidak sabar untuk menyambut ketibaan pemain berusia 22 tahun ke Emirates selepas beberapa isu berkaitan permit kerjanya selesai.

Arsene Wenger tidak sabar memberi peluang, menjelaskan pemain itu tidak akan dijual dan memberitahu dia 'sayangkan' penyerang itu. Bagaimanapun, musim ini Campbell hanya diturunkan sekali musim ini dalam perlawanan Piala Liga menentang Southampton dan dilaporkan kurang senang mengapa kelab itu masih terus menyimpannya.

* 5. Bryan Ruiz, Costa Rica

Penyerang itu menghabiskan sepanjang musim lalu diejek penyokong Fulham yang menyatakan beliau tidak wajar diberi kepercayaan oleh Martin Jol. Tidak ramai di Craven Cottage yang berduka dengan pemergiannya apabila dipinjamkan ke PSV Eindhoven.

Ramai yang terpukau dengan aksi dinamik dan menakjubkan ditunjukkan buat negaranya di Piala DUnia di mana dia meraih gol kemenangan ke atas Itali dan ketika menentang Greece, yang menang menerusi penalti selepas seri 1-1.

Mengejutkan apabila dia tidak langsung berpindah kelab pada musim panas tetapi terus dipinggirkan sehinggalah Felix Magath dipecat sebagai pengurus Fulham pada pertengahan September. Dia kembali mendapat tempat di bawah kendalian Kit Symons, menjaringkan empat gol dalam 18 perlawanan.

* 6. Vincent Enyeama, Nigeria

Selepas mengekalkan rekod 11 perlawanan tanpa bolos buat Lille musim lalu, bintang Nigeria itu mengekalkan reputasinya sebagai penjaga gol terbaik di Afrika dan antara terbaik dunia menerusi aksi membanggakan pada Piala Dunia.

Dia terus cemerlang buat Lille biarpun kelab itu merudum musim ini tetapi nasibnya di pentas antarabangsa menjadi tidak menentu. Selepas dikritik kerana meminta pihak berkuasa menangguhkan Piala Negara Afrika berikutan krisis Ebola, Enyeama beraksi dalam perlawanan di antara Nigeria dan Afrika Selatan yang berkesudahan seri 2-1 sekali gus gagal melayakkan juara bertahan ke kejohanan itu.

Penjaga gol berusia 32 tahun itu disenarai pendek dalam kelompok lima calon pemain terbaik Afrika dan seorang lagi penjaga gol yang dikaitkan dengan Liverpool. Dia bukan saja hebat menjaga gawang tetapi turut menjaringkan lebih daripada 20 gol sepanjang kariernya menerusi sepakan percuma dan penalti.

* 7. Rais Mbolhi, Algeria

Seorang lagi penjaga gol yang cemerlang sewaktu Piala Dunia. Bintang Algeria itu meninggalkan CSKA Sofia Julai lalu untuk menyertai Philadelphia Union. Ia satu lagi destinasi dalam karier pemain itu yang menyaksikannya beraksi bersama kelab di Scotland, Jepun, Russia, Perancis, Bulgaria dan kini Amerika Syarikat.

Penampilan pertamanya untuk kelab baru tertangguh beberapa bulan selepas mengalami kemangalan jalan raya di Perancis. Dia diberikan jersi No 92, menampilkan aksi kurang meyakinkan di AS. Dalam empat penampilannya, dia dikenali kerana melakukan kesilapan, khususnya kesilapan ketika menentang Chicago Fire yang memberikan gol buat bekas penyerang Cardiff City, West Bromwich Albion, Norwich City dan Wales, Robert Earnshaw.

* 8. Enner Valencia, Ecuador

Penyerang itu menjaringkan tiga gol untuk Ecuador di Brazil (satu lagi ke atas England dalam perlawanan persahabatan sebelum kejohanan), berjaya mempengaruhi West Ham membelanjakan £12 juta (RM65.3 juta) dari kelab Mexico, Pachuca, di mana dia menjadi penjaring terbanyak musim lalu, meskipun menyertai kelab itu Januari lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu pantas menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris dan hasil kepantasan, kelicikan dan kebolehan merebut bola tinggi, membantu mengubah skuad Sam Allardyce menjadi skuad hebat, manakala gandingannya dengan pemain baru, Diafra Sakho menjadi ramuan kejayaan pasukan itu musim ini.

Aksi tahun lalu ternyata banyak membawa perubahan kepada karier pemain yang 14 bulan lalu masih beraksi dalam liga semi profesional di Ecuador.

* 9. James Rodriguez, Colombia

Bintang Colombia itu pulang dari Brazil dengan anugerah Kasut Emas dan sejumlah peminat baru, ramai tertanya-tanya sebelum ini bagaimana Monaco membelanjakan £38 juta (RM207 juta) untuk membelinya dari Porto di mana dia membantu mereka menjulang tiga gelaran berturut-yurut.

Dia menjaringkan sembilan gol dalam 38 penampilan buat Monaco dan menamatkan musim sebagai pembantu jaringan terbanyak dalam Ligue 1 sebelum mara ke Piala Dunia.

Aksinya dalam kejohanan itu membuatkan Colombia yakin mampu menjuarainya buat kali pertama. Jaringan jarak jauh ke atas Uruguay dipilih sebagai yang terbaik untuk kejohanan itu serta lima gol lagi menjadikannya sebagai penjaring terbaik.

Real Madrid segera menerkamnya dengan bayaran hampir dua kali ganda berbanding dibelanjakan Monaco. Rodriguez kini berbangga menjadi ralan sepasukan Cristiano Ronaldo dan bintang lain, selain menjaringkan gol, mencipta gol serta melancarkan rangkaian seluar dalam.

* 10. Lionel Messi, Argentina

Pemain Argentina itu memulakan Piala Dunia, dengan harapan mampu mengetepikan bayangan Diego Maradona. Begitupun prestasinya mula merudum selepas itu tetapi anugerah Bola Emas menjadi milik pemain berkenaan.

Namun, tidak dapat dinafikan kemampuannya mencipta rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Juara-Juara dan La Liga. Kehebatannya sukar ditandingi.

Mungkin juga Cristiano Ronaldo mampu mengatasi rekod berkenaan. Peminat bola sepak moden ternyata beruntung hidup dalam era di mana dua pemain terbaik dalam sejarah bersaing antara satu sama lain untuk mencipta rekod baru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:02 AM