Tang (baju hitam) bersama Soh (baju putih) dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan peluru hidup pada 7 Januari lalu.
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Dua lelaki dihadapkan ke mahkamah sesyen berasingan, di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan peluru hidup pada 7 Januari lalu.

Tertuduh, Tang Ah Chiew, 42, dan Soh Chin Seong, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan terbabit yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Hokkien serta Mandarin di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah dan Najwa Che Mat.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen 5, Tang yang juga pekerja restoran mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol semi auto jenis Colt .45 milimeter (mm) bernombor siri 919240 tanpa kebenaran yang sah bersama satu kotak peluru Bullet Master Co Ltd dan 53 butir peluru hidup saiz .45 mm.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.30 petang 7 Januari lalu semasa berada di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Alor Setar Selatan.

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ana Rozana Mohd Nor yang tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Zulhazmi kemudian membenarkan tertuduh tidak diikat jamin sebelum menetapkan 12 Mac ini sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan persenjataan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 4, rakannya Soh yang juga seorang tukang masak turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenis Llama Trade Mask bernombor siri 471697 tanpa kebenaran yang sah bersama 24 butir peluru hidup saiz .22mm.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.30 petang 7 Januari lalu semasa berada di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Alor Setar Selatan.

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut seksyen dan akta yang sama.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur yang turut memohon tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

Najwa kemudian membenarkan tertuduh tidak diikat jamin dan menetapkan 12 Mac ini sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan persenjataan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 2:28 PM