Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Zubil Mat Som pada sidang media di Bilik Gerakan Operasi APMM, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah menamatkan usaha pencarian mangsa bot karam di pantai Batu Payung di daerah Tawau, hari ini.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 77 batu nautika persegi di perairan Tinagat itu ditamatkan jam 6 petang susulan dua maklumat terbaru berkaitan kejadian sebentar tadi.

Beliau berkata, dua maklumat itu ialah penemuan mayat bayi perempuan berusia 18 bulan di Sungai Manurung, Sebatik, Indonesia pagi tadi serta keterangan daripada juragan yang ditahan polis mendakwa seorang lagi mangsa iaitu Joko Rahman, 35, kini berada di Sungai Nyamuk, Indonesia.

"Kita menerima maklumat mayat bayi perempuan ditemui di Sungai Manurung dan perkara ini disahkan ibu bapanya yang terselamat dalam kejadian itu.

"Sementara seorang lagi mangsa hilang iaitu Joko didakwa berada di Sungai Nyamuk berdasarkan keterangan juragan dikenali sebagai Juma yang ditahan polis di pintu ketibaan Lapangan Terbang Tawau, jam 10.30 pagi tadi," katanya dalam sidang media di Pusat Gerakan Operasi APMM Sabah, di sini, sebentar tadi.

Susulan maklumat terbaru itu, sekali gus menjadikan jumlah mangsa yang meninggal dunia adalah seramai 10 orang, empat selamat dan seorang lagi iaitu Joko dilaporkan berada di Indonesia.

Terdahulu, dalam kejadian jam 6 petang, 7 Februari lalu, bot dinaiki 15 orang karam dipukul ombak ketika dalam perjalanan dari Kampung Batu Payung menuju Sungai Nyamuk, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 6:47 PM