Laporan Harian Metro hari ini.

Email:

Johor Bahru: Polis Johor tidak memohon menyambung tempoh tahanan reman dan sudah membebaskan Mat Tere yang mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Institusi Diraja Johor menerusi video di Facebook, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dalam kenyataan berkata, pihaknya menjunjung titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya polis Johor menggunakan budi bicara dan enggan kes itu dipanjangkan.

Menurutnya, siasatan mendapati lelaki terbabit dipergunakan pihak tertentu untuk mewujudkan satu persekitaran tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

“Pihak polis menjunjung titah Tunku Mahkota Johor dengan tidak memohon menyambung tempoh tahanan reman ke atas suspek dan sudah membebaskannya.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak merakam atau mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.

“Sebagai negara yang mempunyai masyarakat majmuk, kita perlu saling menghormati antara satu sama lain bagi menjaga keharmonian negara,” katanya.

Menurutnya, polis Johor tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang mengganggu gugat keharmonian negara.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, sebelum menitahkan polis membebaskan Mat Tere atau nama sebenar Muhammad Zul Apiz Baharom, 29.

Laman sosial Facebook (FB) Johor Southern Tigers (JST) melaporkan Tunku Ismail turut menitahkan supaya Mat Tere dihantar pulang ke Kelantan.

JST melaporkan Tunku Ismail percaya Mat Tere tidak bersalah dan digunakan pihak tertentu yang mempunyai agenda politik.

Baginda mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kelantan kerana menjaga rakyat mereka dengan baik dan menasihatkan supaya berjaga-jaga dengan individu yang mempunyai niat untuk memecahbelahkan rakyat.

Tempoh reman Mat Tere sepatutnya dilanjutkan selepas Pendaftar Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, Nor Faezah Abdullah mengeluarkan perintah reman pada 9 Februari lalu terhadap lelaki itu bagi membantu siasatan kes menghina Institusi Diraja Johor yang tular di laman sosial FB.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 10:41 PM