PROGRAM mengeratkan hubungan persahabatan antara dua negara.

Lima siswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mengikuti Japan Outreach Mobility Program (JOM-P) di Oita Prefectural College of Arts and Culture (OPCAC) dan Baiko Gakuin University (BGU), baru-baru ini nyata teruja dan kagum dengan teknologi serta keunikan budaya masyarakat negara matahari terbit itu.

Kunjungan selama sebulan itu dianjurkan sempena program mobiliti pergerakan siswa antara universiti dan industri di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Delegasi berkenaan terdiri daripada empat siswa Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) dan seorang daripada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) selain Guru Bahasa Jepun, Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PBI), Toshiharu Shinohara serta mantan Pengarah UMK International, Profesor Dr Farok Zakaria.

Siswa FKP, M Pavitira berkata, sepanjang mengikuti program JOM-P, mereka didedahkan pelbagai keunikan masyarakat negara terbabit.

“Mereka sangat sopan santun dan melayan rombongan kami dengan penuh ramah.

“Antaranya budaya tunduk atau ‘bow’ yang melambangkan tanda hormat kepada tetamu.

“Pengalaman menyertai program ini sangat berharga dan sukar dilupakan,” katanya.

Rakannya, Catherine Lim Zhi Ying turut kagum dengan kaedah restoran mempamerkan sampel makanan ditawarkan. Ia sama dengan saiz, rupa, struktur dan warna makanan sebenar.

“Saya sangka ia makanan sebenar tapi hanya contoh menu.

“Cara itu sangat mengagumkan saya kerana di negara ini sukar melihat situasi itu,” katanya.

Rombongan siswa berkenaan turut berpeluang melawat beberapa bandar lain seperti Taketa City, Usuki City, Bungotakata City, Saiki City dan Nakatsu City selain lawatan pendidikan di Ritsumeikan Asia Pacific University (APU).

Mereka turut menghadiri kelas bersama siswa Jepun di samping menyertai Geitan College Festival yang memberi peluang menjalankan perniagaan gerai menjual cucur pisang.

Sementara itu, Dr Farok berkata, program mobiliti pelajar atau JOM-P adalah salah satu agenda utama UMK selaras teras pembangunan universiti berkenaan mengantarabangsakan program pengajian dan aktiviti akademik.

Menurutnya, program di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Bahagian Education Malaysia (BEM) ini bertujuan menggiatkan usaha meningkatkan program mobiliti di Universiti Awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Lima siswa yang terpilih membolehkan mereka mengambil kursus yang ditawarkan di universiti itu dan seterusnya membawa kredit diperoleh ke UMK.

“Program ini hasil kerjasama UMK dengan OPCAC dan BGU sejak tahun 2011 yang memberi peluang siswa memperoleh pendedahan proses pembelajaran dan kepelbagaian pengalaman budaya dalam persekitaran berbeza di peringkat antarabangsa selain persediaan memasuki dunia pekerjaan,” katanya. - Syarimie Wosley

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 6:14 AM