Qiqihar (China): Seorang petani menghabiskan masa selama enam tahun untuk mempelajari undang-undang supaya dia boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap sebuah kilang kimia yang membuang sisa toksik di kampungnya.

Wang Enlin, 65, dari kampung Yushutun di wilayah Heilongjiang memberitahu, tanah dan ladang milik penduduk tercemar dengan sisa toksik yang dibuang kilang milik kerajaan sejak 2001.

Katanya, pada tahun yang sama, dia membuat aduan kepada Biro Sumber Tanah Qiqihar tetapi pegawai meminta bukti kampung mereka dicemari dengan sisa toksik.

“Saya tahu saya di pihak yang benar tetapi saya tidak tahu apakah kesalahan dari segi undang-undang yang dilakukan syarikat itu dan apakah bukti yang perlu kami ada.

“Cara yang mudah adalah mengambil peguam tetapi kami sangat miskin untuk berbuat demikian,” katanya.

Walaupun kecewa, Wang tidak berputus asa dan dia mengambil keputusan belajar undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap syarikat itu.

Kerana tidak mampu membeli buku, Wang membaca buku undang-undang di sebuah kedai buku dan menyalin nota dengan menulis pada kertas hampir setiap hari.

Pada 2007, selepas mengumpul semua bukti, Wang dan penduduk kampung berusaha untuk memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan.

Wang juga bernasib baik apabila sebuah firma perundangan menawarkan bantuan secara percuma selepas kagum dengan usaha lelaki itu.

Perbicaraan itu bermula pada 2015 dan baru-baru ini mahkamah mengarahkan syarikat terbabit membayar ganti rugi 820,000 yuan (RM529,227) kepada setiap penduduk kampung.

Mahkamah juga mengarahkan syarikat itu membersihkan sisa toksik yang dibuang di kampung itu sejak 16 tahun lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 6:50 AM