Shamsul Anuar (kiri) bersama Wan Ahmad mengumumkan dividen empat peratus di Pengumuman Dividen SSPN-i 2016 di Menara PTPTN, di sini, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Asrizal Aris


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan kadar dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dan SSPN-i Plus bagi tahun 2016 kekal sebanyak empat peratus.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, SSPN-i di bawah kendalian PTPTN mencatatkan jumlah deposit lebih RM2.6 bilion dengan 2.7 juta akaun sejak diperkenalkan pada 2004 hingga 31 Disember tahun lalu.

Katanya, pemberian dividen itu membabitkan peruntukan sebanyak RM76.74 juta.

"Alhamdulillah meskipun tahun lalu kita menempuh pelbagai cabaran ekonomi namun PTPTN berjaya melepasi sasaran tahunan iaitu RM400 juta bagi penabungan SSPN-i yang meningkat sebanyak 9.2 peratus iaitu peningkatan sehingga RM544.49 juta.

"Pada tahun ini, PTPTN mensasarkan kutipan deposit sebanyak RM550 juta dengan penambahan pembukaan akaun baru sebanyak 350,000," katanya pada majlis Pengumuman Dividen SSPN-i 2016 di Menara PTPTN, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN Wan Ahmad Wan Yusoff.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 12:29 PM