FADIL Marsus. FOTO arkib NSTP
Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Polis akan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Indonesia untuk mengesan seorang lagi penumpang dan pemilik bot yang karam di perairan Tinagat, Tawau, 7, Februari lalu.

Difahamkan, penumpang yang dikenali sebagai Joko Rahman, 35, dan pemilik bot terbabit berada di Sungai Nyamuk Indonesia.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya akan mendapatkan kerjasama melalui konsul Indonesia di Tawau untuk mengesan dua individu terbabit.

"Siasatan juga mendapati bot yang karam itu sudah diubah suai dan semakan melalui Lembaga Pelabuhan dan Dermaga serta Jabatan Perikanan mendapati bot itu tidak pernah didaftarkan di Malaysia.

"Usaha mengesan pemilik dan seorang lagi penumpang diteruskan melalui Konsulat Indonesia di Tawau," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan penyelamat dihentikan selepas maklumat mendapati seorang lagi yang belum ditemui kini berada di Sungai Nyamuk Indonesia.

Susulan maklumat terbaru itu, ia sekali gus menjadikan jumlah mangsa yang meninggal dunia adalah 10 orang, empat lagi selamat manakala seorang lagi iaitu Joko kini dilaporkan berada di Indonesia namun statusnya masih belum dapat dikenal pasti sama ada selamat atau sebaliknya.

Pada 7 Februari lalu, bot dinaiki 15 orang termasuk juragan karam dipukul ombak ketika dalam perjalanan dari Kampung Batu Payung menuju ke Sungai Nyamuk, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 3:14 PM