Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melakukan penyamaran bagi dalam usaha membanteras perkhidmatan teksi motosikal, Dego Ride.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah berkenaan perlu memandangkan ia mengundang risiko kemalangan lebih tinggi.

"Di bawah Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987, jelas bahawa lesen motosikal tidak boleh digunakan untuk membawa penumpang untuk mencari keuntungan secara komersial.

"Justeru, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap penunggang motosikal yang menyediakan perkhidmatan itu," katanya pada sidang media perhimpunan bulanan dan sambutan Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, menerusi peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 16 dan 47 Akta SPAD 2010 sekaligus mana-mana kenderaan digunakan untuk komersial perlu ada lesen serta tidak boleh membawanya tanpa permit.

Berikutan itu, Liow memberi amaran kepada pihak syarikat pengendali Dego Ride supaya tidak sesekali mencabar undang-undang negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 4:30 PM