DR Rashidi menunjukkan kulit udang yang sudah dikisar menjadi pewarna.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Institut Penyelidikan Halal dan Latihan Antarabangsa (INHART), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya menghasilkan pewarna menerusi kaedah ekstrak daripada sisa kulit udang.

Astaxanthin atau dikenali sebagai ‘King of Carotenoids’ adalah pewarna semula jadi yang memberikan warna merah, oren dan kuning.

Penghasilan pewarna halal daripada sisa kulit udang antara aspek penting dalam pengeluaran produk makanan dan minuman.

Timbalan Dekan INHART UIAM, Prof Madya Dr Rashidi Othman berkata, pewarna yang dihasilkan daripada alam semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan dan hidupan laut bukan sahaja memberi warna yang menarik, malah mengandungi khasiat untuk kesihatan pengguna.

Beliau berkata, projek yang dimulakan pada 2014 itu melalui geran pembangunan teknologi bersepadu untuk pengekstrakan, penulenan dan pengeluaran pigmen karotenoid semula jadi sebagai pewarna makanan halal melalui kultur sel.

“Astaxanthin semula jadi biasanya diperoleh daripada hidupan laut seperti salmon, udang, ketam dan lobster.

“Bagaimanapun, terdapat segelintir pengusaha akuakultur menggunakan astaxanthin tiruan sebagai makanan tambahan (suplemen) terutama salmon, udang dan ketam.

“Walaupun ia memberikan kesan warna yang lebih terang dan menarik, tetapi boleh memudaratkan kesihatan manusia,” katanya yang ditemui di INHART UIAM, Gombak, baru-baru ini.

Dr Rashidi yang juga ketua projek itu berkata, astaxanthin semula jadi yang diekstrak daripada kulit udang sangat berkhasiat dan berpotensi diperkenalkan sebagai pewarna semula jadi dalam makanan dan makanan tambahan.

“Kami berjaya mengekstrak astaxanthin berwarna merah daripada sisa akuakultur iaitu kulit udang. Bagi setiap satu kilogram (kg) kulit udang (berat kering) boleh menghasilkan sekurang-kurangnya lima hingga 10 gram astaxanthin asli.

“Difahamkan, astaxanthin kini berharga lebih RM300,000 hingga RM500,000 sekilogram bergantung kepada keaslian dan kebiasaannya dijual secara komersial sebagai makanan tambahan dan krim kulit.

“Makanan tambahan dalam bentuk kapsul atau cecair (minyak ikan) dan pembuatan kosmetik, farmaseutikal serta nutraseutikal,” katanya.

Menurutnya, astaxanthin bertungsi sebagai antioksidan, antipenuaan, antiinflamasi, antimikrob, antikulat, antibakteria, memulihkan sakit otot dan sendi.

“Ia juga baik untuk kesihatan mata, perlindungan daripada radiasi sinaran ultraungu (UV) (untuk pelembap kulit dan losen krim pelindung sinar matahari (sunblock), kesihatan jantung dan pencegahan daripada barah.

“Secara amnya, super antioksidan ini dapat membantu dalam melindungi sel daripada kerosakan dan menambah baik sistem imun badan.

“Pengambilan empat miligram (mg) astaxanthin semula jadi setiap hari dipercayai boleh memberi kesan 65 kali ganda daripada vitamin C,” katanya.

Dr Rashidi berkata, astaxanthin juga digunakan di seluruh dunia sebagai salah satu produk halal Malaysia.

“Setakat ini, kami berjaya memasukkan warna kuning keorenan astaxanthin ke dalam sarang burung walet dan isi ikan keli. Ini secara tidak langsung boleh menambah baik kualiti nutrisi serta nilai komersial produk berkenaan.

Projek berkenaan turut membabitkan Dr Norazian Mohd Hassan termasuk pelajar Farah Ayuni Mohd Hatta, Muhamad Shirwan Abdullah Sani, Nur Alifah Md Amin, Razanah Ramya dan Mohd Akram Abd Rasid.

Inovasi itu berjaya meraih anugerah dari dalam dan luar negara seperti pingat emas dan anugerah khas untuk ciptaan terbaik sempena pertandingan inovasi ciptaan dunia di Seoul, Korea 2015, pingat emas dan anugerah khas sempena Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2013 serta pingat perak Anugerah Bioinnovation 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 7:19 AM