Najib melihat model KL ATCC sambil diberi penerangan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman ketika Majlis Pecah Tanah Tapak KL ATCC di KLIA. Turut kelihatan, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalannya, Datuk Ab Aziz Kaprawi (kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Najib melihat model KL ATCC sambil diberi penerangan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman ketika Majlis Pecah Tanah Tapak KL ATCC di KLIA. Turut kelihatan, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalannya, Datuk Ab Aziz Kaprawi (kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara KL (KL ATCC) yang bakal beroperasi pada akhir 2019 dijangka dapat mengendalikan lebih 108 pergerakan pesawat dalam tempoh sejam berbanding 78 pergerakan pesawat buat masa ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, projek KL ATCC yang dibangunkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu akan menjadi titik permulaan kepada penstrukturan semula ruang udara negara.

Beliau berkata, penstrukturan semula itu membolehkan KL ATCC mengendalikan lebih banyak pergerakan pesawat pada masa depan.

"Buat masa ini, KLIA mengendalikan tiga landasan serentak di mana ia satu-satunya lapangan terbang yang mengendalikan tiga landasan di rantau ini," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah KL ATCC di KLIA di sini, hari ini.

Katanya, projek ini bakal menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam industri penerbangan awam negara.

Najib berkata, projek KL ATCC juga mewujudkan batu loncatan dalam transformasi negara selain membantu meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam negara.

Dalam pada itu, Najib berkata, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan ditransformasikan sebagai badan berkanun dan dikenali sebagai Lembaga Penerbangan Awam Malaysia.

Menurutnya, struktur baru DCA itu akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun ini.

"Langkah menstruktur semula DCA penting bagi memastikan operasi penerbangan awam negara mematuhi Badan Kawal Selia Penerbangan Awam Dunia (ICAO)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 11:15 AM