Kota Bharu: Persaingan dua penjuru antara Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa (gambar) diibaratkan ‘buku bertemu ruas’ bagi merebut kerusi panas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 25 Mac depan.

Kedua-dua tokoh itu memiliki kredibiliti dan aura tersendiri yang pasti menyaksikan satu sejarah bakal tercipta dalam kancah bola sepak negara.

Ahli jawatankuasa Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Mohammad Yusri Ismail menjelaskan, pihaknya bukan mahu mendabik dada atau menunjukkan sifat egois terhadap umum, tetapi naluri KAFA mengatakan bekas presiden mereka berpeluang cerah memenangi pertandingan itu.

Menurutnya, walaupun Annuar kini berdepan isu penggantungan daripada menjadi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) berhubung tajaan pasukan Kelantan menerusi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) oleh dua agensi berkenaan, isu itu dipercayai tidak akan mempengaruhi 39 perwakilan ahli gabungan FAM.

“Kedua-duanya layak untuk memegang jawatan itu berdasarkan kejayaan pasukan masing-masing. Kemampuan Annuar dan TMJ terbukti apabila mereka boleh mengubah panorama bola sepak Malaysia terutama merombak balik struktur FAM atau penambahbaikan FAM.

“TMJ anak muda yg mempunyai misi dan visi serta mampu mencari dana, mempunyai harta dan wang ringgit yang banyak. Pada pandangan saya, beliau agak sesuai untuk membantu FAM kerana faktor paling penting adalah kewangan, bermula daripada pembangunan hinggalah skuad pelapis dan senior, selain ilmu pengetahuan dan kejuaraan yang sudah TMJ bawakan terhadap Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Annuar pula digelar Bapa Pembangunan Bolasepak Kelantan kerana beliau berpengalaman luas dalam bola sepak walaupun dirinya bukan seorang pemain, tapi tuah sentiasa bersamanya.

“Fenomena bola sepak Kelantan dan negara bermula ketika Tan Sri menjadi Presiden KAFA. (Fenomena) Penyokong, gaji pemain bermula di Kelantan apabila Annuar melakukan yang terbaik hingga Kelantan mendapat pelbagai kejuaraan. Bukan setakat pasukan senior menang dan membawa balik piala, bahkan skuad Piala Presiden dan Belia turut mendominasi kejuaraan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 11:56 AM