KUANTAN: Seorang lelaki maut apabila kereta Perodua Kancil yang dipandunya melawan arus trafik bertembung dengan sebuah van dan dua kereta.

Kejadian itu berlaku di Kilometer 25 Jalan Pintasan Sungai Ular dekat sini kira-kira jam 8.16 malam tadi.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata, mangsa dikenali sabagai Mohamad Othman, 58, berasal dari Kemaman, Terengganu.

Katanya nahas dipercayai berlaku ketika mangsa dari arah Kilang Lynas telah memandu secara melawan arus trafik menghala ke Kuantan sebelum bertembung dengan sebuah van dan dua kereta.

Mangsa disahkan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini untuk bedah siasat, manakala kesemua pemandu kenderaan lain yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 September 2014 @ 1:20 PM