Rumah di Taman Wangsa Permai, Kepong yang terbakar 11. 20 malam tadi. FOTO Saddam Yusoff
Mohd Hanafis Abdul Haris


Kuala Lumpur: “Kepulan asap yang masuk ke tingkat atas menyebabkan saya hampir lemas dan pitam. Saya tiada pilihan selain terjun dari balkoni bagi menyelamatkan diri,” kata Shamsul Ng Abdullah, 58.

Shamsul antara mangsa yang terselamat, namun patah kaki kanan dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Wangsa Permai, Kepong jam 11. 20 malam tadi.

Dalam kejadian berkenaan, mangsa yang maut adalah cucunya, Ng Zi Xuan, 10 , anak tirinya, Lam Yan Yi, 7 dan pembantu rumah warga Cambodia, Sok Srey, 29.

Mangsa lain yang terselamat, namun melecur adalah isterinya, Lam Chooi Lai, 36, dan ibunya, Wong Ah Yin, 81.

Menurut Shamsul, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di bilik tingkat atas sebelum terdengar bunyi letupan seperti mercun dari aras bawah.

“Bunyi letupan itu tidak kuat, hanya seperti orang ketuk kayu. Namun bila saya buka pintu untuk turun ke bawah, kepulan asap sudah naik ke tingkat atas.

“Ketika itu saya sudah mula pening dan hampir pengsan sebab terlalu banyak sedut asap. Tanpa fikir panjang, saya terus terjun dari balkoni,” katanya.

Menurutnya, ibu dan isterinya juga berjaya diselamatkan orang ramai melalui pintu belakang.

“Namun malangnya saya gagal menyelamatkan cucu, anak tiri dan pembantu rumah saya,” katanya.

Menurutnya, dia kini berteduh di rumah kawannya di Kepong sementara menunggu urusan pengebumian diuruskan oleh keluarganya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.20 malam.

Menurutnya dua jentera serta 20 anggota termasuk pegawai digegaskan ke lokasi kejadian.

“Sebaik api berjaya dipadamkan,kami mendapati tiga mangsa maut manakala tiga lagi terselamat dengan kecederaan melecur,” katanya.

Difahamkan Chooi Lai kini masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala Ah Yin sudah dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 8:01 PM