RAHIM Jailani (kiri) dan JAMAL Abdillah.
RAHIM Jailani (kiri) dan JAMAL Abdillah.

Ada dalam kalangan artis veteran suatu ketika dahulu popular tetapi kini hidup susah berikutan tiada pendapatan tetap.

Justeru, beberapa persatuan artis ditubuhkan bagi meringankan beban golongan ini.

Mengulas isu ini, Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah menerusi ruang Kafe Ahad berpendapat persatuan artis banyak bercakaran dan tidak ikhlas memperjuangkan nasib anak seni.

Ikuti temu bual wartawan Harian Metro, Michelle Gun ([email protected] hmetro.com.my) dengan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) Rahim Jailani bagi merungkai permasalahan ini.

RAP: Adakah berlaku perbalahan dalam persatuan seperti didakwa Datuk Jamal?

RAHIM: Ingin saya jelaskan di sini bahawa kenyataan Jamal mengenai persatuan artis veteran bercakaran dan tidak ikhlas membantu rakan seperjua­ngan adalah tidak benar.

PKAVM tidak pernah mengabaikan artis yang memerlukan dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka.

Bagaimanapun, tidak dinafikan dalam persatuan ada segelintir ahli sukar memberi kerjasama dalam apa sahaja program yang dianjurkan dan ini menyukarkan kita bergerak

ke hadapan.

RAP: Adakah sikap segelintir ahli itu menjejaskan matlamat PKAVM?

RAHIM: Pihak persatuan ada banyak perancangan bagi membantu artis veteran. Antaranya berbincang de­ngan stesen televisyen untuk mewujudkan program khas atau membabitkan artis veteran dalam program sedia ada.

Namun, usaha ini sukar direalisasikan kerana kurang mendapat kerjasama segelintir ahli. Kadang-kadang kami ingin memberi bantuan, namun terhad.

Kalau semua ahli dapat duduk semeja berbincang, saya percaya banyak yang persatuan dapat lakukan untuk membantu meringankan beban artis veteran.

RAP: Mungkin ada cabaran atau kekangan lain yang menyukarkan PKAVM membantu artis veteran?

RAHIM: Niat membantu ini bukan mudah apabila ada agensi berkaitan tidak mahu bekerjasama. Apabila isu artis hidup susah dilaporkan media, barulah agensi terbabit kelam-kabut buat kerja.

Kami pernah cuba minta bantuan rumah untuk artis yang memerlukan dan membuat permohonan mengikut saluran betul namun sehingga sekarang belum ada sebarang jawapan.

Selain itu, kami turut bertemu pihak berkaitan bagi memberi peluang artis veteran kembali aktif menyanyi dan berlakon tetapi belum ada maklum balas.

RAP: Jadi, apakah inisiatif PKAVM untuk membantu ahlinya?

RAHIM: Pihak persatuan sentiasa berikhtiar mencari penyelesaian terbaik bagi meringankan beban ahli yang ditimpa kesusahan.

Kami sudahpun menghantar cadangan kepada pihak berkaitan untuk mewujudkan tabung rawatan hospital bagi membiayai kos perubatan artis.

Ini berikutan ada artis yang sakit dan memerlukan rawatan berterusan. Persatuan lain juga ada tabung seperti ini dan wang itu digunakan apabila ada ahlinya sakit.

Justeru, kami amat mengharapkan cadangan ini dipandang berat pihak terbabit dan meluluskan pelaksanaannya.

RAP: Dalam setahun berapa kali PKAVM bertemu ahli?

RAHIM: PKAVM ada 200 ahli di seluruh negara yang terdiri daripada pelakon dan penyanyi veteran. Ahli jawatankuasa mengadakan perjumpaan sekali setiap tiga bulan dan persatuan juga ada mesyuarat tahunan.

Seperti saya katakan tadi, tiada perselisihan faham cuma kami berdepan masalah apabila ada ahli kurang berminat menyertai program yang persatuan anjurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 6:00 AM