HIDANGAN berkhasiat kerana ditambah pelbagai sayur-sayuran.
Siti Zarinah Sahib


Stew antara hidangan yang mudah disediakan dan berkhasiat. Ini kerana selain daging sama ada lembu, ayam atau kambing, ia turut ditambah pelbagai jenis sayur-sayuran seperti lobak merah, kentang dan tomato yang memberikan khasiat kepada tubuh.

Apa yang penting, teknik memasak tidak boleh terlalu lama agar zat dan vitamin di dalam sayuran tidak hilang begitu saja.

Hidangan ini juga sesuai dimasak terutama bagi ibu berkerjaya kerana mudah disediakan.

Ia juga tidak terikat dengan sayur-sayuran, sebaliknya boleh menggunakan apa saja jenis sayur yang disukai. Bagi mengurangkan bau kambing dalam masakan, anda boleh memasukkan perahan lemon dan sagat sedikit kulit lemon bagi memberikan aroma segar dalam hidangan.

Bahan

- 1kg daging kambing

- 5 biji tomato

- 1 batang lobak merah

- 3 biji kentang

- 3 batang daun saderi

- 1 biji bawang besar holland

- 2 biji cili merah

- 1 sudu besar oregano

- 1 sudu kecil thyme

- 1 sudu kecil lada hitam

- 2 helai daun salam

- 2 biji oren

- 1 biji lemon

- 1 sudu kecil garam

- 500ml -1 liter air

Cara penyediaan

1. Basuh bersih daging kambing dan toskan.

2. Tumiskan bawang holland dan masukkan lobak merah, daun saderi, kentang dan tomato, kacau sebati.

3. Masukkan daging kambing dan kacau sehingga airnya keluar. Kemudian masukkan dua cawan air dan biarkan ia mendidih.

4. Setelah mendidih, masukkan cili merah yang dikisar bersama oregano, thyme, lada hitam dan daun salam. Kacau sebati.

5. Sagat kulit oren dan lemon, masukkan ke dalam periuk. Perah juga oren dan lemon tadi dan masukkan ke dalam periuk. Kacau sebati dan kecilkan api. Tambah air jika terlalu pekat.

6. Masukkan garam dan kacau. Kemudian, pindahkan semua bahan ini dalam mangkuk kaserol dan kemudian bakar dalam ketuhar selama 45 minit dengan suhu 150 darjah Celsius. Sedia dihidang bersama roti atau nasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 6:19 AM