Rotterdam: Tomas Berdych (gambar) memerlukan ‘break’ permainan terakhir untuk meraih kemenangan sukar 7-6 (7/3), 6-4 ke atas pemain kurang ternama Romania, Marius Copil pada kejohanan Tenis Dunia Rotterdam, kelmarin.

Berdych, pilihan keempat yang memenangi kejuaraan dalam dewan itu di Stadium Ahoy tiga tahun lalu, disaing hebat pencabarnya dengan masing-masing meledak 11 aces dalam pertarungan selama 90 minit itu.

Berdych menyelamatkan semua tiga mata ‘break’ yang dihadapinya sebelum mematahkan servis lawan sekali untuk layak ke pusingan kedua.

“Saya menang pada 2014 namun saya bukannya seorang yang percaya dengan kepercayaan karut, tapi pasti satu tradisi menarik untuk melakukannya sekali lagi (menang),” kata Berdych ketika dia memulakan penampilan ke-10 pada kejohanan di bandar raya pelabuhan Belanda itu.

“Saya suka datang ke sini, ia sering kali saingan yang sukar dengan ramai pemain bagus.”

Pemain Perancis, Pierre-Hugues Herbert menempah tiket ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain veteran Sepanyol Feliciano Lopez 7-6 (7/5), 7-6 (7/5).

Pemain Belanda, Robin Haase mengalahkan Florian Mayer dari Jerman 7-5, 7-6 (7/3) manakala Evgeny Donskoy dari Russia membenam Marcel Granollers 6-4, 6-4.

Penganjur Rotterdam, Richard Krajicek menegaskan penyertaan pemenang hujung minggu lalu Alexander Zverev dan Grigor Dimitrov menyelamatkan mereka selepas Rafael Nadal dan Stanislas Wawrinka menarik diri kerana kecederaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 9:48 AM