AFP

Munich: Arsene Wenger sekali lagi berdepan tekanan untuk menamatkan sengsara Arsenal pada pusingan kedua Liga Juara-Juara apabila Gunners bertandang menentang pasukan badi Bayern Munich pada aksi pertama, awal pagi esok.

Bayern memegang rekod 15 kemenangan berturut-turut dalam pertandingan Eropah di gelanggang sendiri dengan pertembungan minggu ini di Arena Allianz menandakan pertemuan ke-11 kedua-dua pasukan dalam Liga Juara-Juara.

Arsenal mengalami kekalahan pada pusingan kedua sejak enam musim lalu, tumpas kepada Bayern pada 2013 dan 2014 dan satu lagi penyingkiran awal akan meningkatkan tekanan buat Wenger, 67, supaya melepaskan jawatannya selepas 20 tahun mengendalikan pasukan itu.

Kedua-dua pasukan amat memahami kekuatan masing-masing selepas bertemu enam kali dalam empat tahun terakhir, dengan Bayern membenam Gunners 5-1 di Munich pada pertembungan terakhir mereka pada November 2015.

Arsenal memanaskan badan menjelang kunjungan ke Jerman dengan kemenangan 2-0 ke atas Hull menerusi dua gol Alexis Sanchez sekali gus kembali melakar kemenangan selepas tewas aksi liga berturut-turut kepada Chelsea dan Watford.

Gunners yakin dengan aksi di Arena Allianz ketika perlawanan timbal balik diadakan di London pada 7 Mac ini.

“Jika kami mempamerkan persembahan terbaik, maka kami boleh mengalahkan Bayern,” kata pertahanan Arsenal dari Jerman, Shkodran Mustafi.

“Terpulang kepada kami untuk memastikannya berlaku.”

Arsenal menewaskan Bayern 2-0 di Munich pada 2013 namun masih tewas aksi pusingan kedua itu berikutan kekalahan 1-3 pada aksi pertama di London dalam laluan kelab Jerman itu muncul pemenang Liga Juara-Juara pada final di Wembley.

“Kami pernah menang di sana dan saya berasa kami berpeluang untuk mara,” kata Wenger.

Pemain tengah Mesut Ozil, seorang lagi pemain kebangsaan Jerman dalam pasukan Arsenal, mengalami kemerosotan prestasi dan tidak meledak gol sejak Disember lalu.

“Ini masa buatnya untuk menjaringkan gol semula,” ujar Wenger. “Saya fikir dia tidak berasa yakin (menentang Hull).

“Ia sering kali mencetus masalah kerana anda fikir dia boleh mencipta sesuatu yang istimewa.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 9:57 AM