Jamil Khir bersama murid cemerlang UPKK, Muhammad Uwais Mohd Nor Azam yang mendapat 8A ketika melancarkan semakan keputusan UPKK 2016 di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini. - Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR

Siti A'isyah

Putrajaya: Seramai 46, 461 daripada 194,258 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2016 memperolehi semua A (cemerlang) bagi lapan mata pelajaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jumlah calon yang memperoleh 8A itu meningkat empat peratus berbanding 2015 iaitu seramai 37,271 murid yang mendapat semua A.

"Seramai 22,572 calon memperoleh 7A manakala 21,774 calon lagi mendapat 6A.

“Tiada calon mendapat semua D (lulus tidak mencapai tahap minimum) bagi semua mata pelajaran tahun ini," katanya pada sidang media Pengumuman UPKK 2016 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana MenteriDatuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha.

Jamil Khir berkata, pencapaian keseluruhan UPKK 2016 mencatatkan kelulusan 100 peratus untuk tahun ketiga berturut-turut sejak 2014.

Pelaksanaan UPKK untuk murid tahun lima kelas KAFA membabitkan lapan mata pelajaran iaitu Amali Solat, Penghayatan Cara Hidup Islam, Al-Quran, Ulum Syariah (Akidah/Ibadah), Sirah, Adab (Akhlak Islamiah), Jawi dan Khat serta Lughah Al-Quran.

Semakan keputusan UPKK boleh dibuat melalui dalam talian di islam.gov.my atau SMS ke 15888 bermula 11 pagi hari ini hingga 11 pagi 21 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 10:34 AM