Mustafar ketika melawat kaunter pendaftaran Program E-Kad Sementara Pekerja Asing. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mustafar ketika melawat kaunter pendaftaran Program E-Kad Sementara Pekerja Asing. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Jabatan Imigresen mengesahkan abang kepada pemimpin Korea Utara, King Jong-Nam belum melepasi kaunter pemeriksaan daftar keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika kejadian pembunuhannya, Isnin lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya memberikan kerjasama yang diperlukan serta diminta oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perkara berkenaan.

"Kejadian itu berlaku sebelum melepasi kaunter (pemeriksaan daftar keluar). Penyiasatan sudah dijalankan polis terhadap proses berkait dengan kejadian ini.

"Saya tidak mahu menyatakan perkara lain kerana polis menjalankan siasatan mereka dan pihak imigresen membantu PDRM untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media pendaftaran Program E-Kad di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ditanya sama ada pasport digunakan Jong-Nam ketika memasuki Malaysia tulen atau sebaliknya, Mustafar enggan mengulas lanjut berkenaan perkara itu.

Dalam program hari ini, Mustafar melakukan tinjauan pendaftaran Program E-Kad Sementara Pekerja Asing yang dilaksanakan bermula hari ini sehingga 30 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 3:00 PM