Lausanne: Mahkamah rayuan sukan antarabangsa menyokong tindakan penggantungan setahun terhadap Barcelona daripada melakukan urusan perpindahan pemain sekali gus memberi tamparan hebat terhadap kelab gergasi bola sepak Sepanyol itu.

Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan Barcelona terhadap penggantungan FIFA April lalu kerana melanggar peraturan dengan mengikat pemain berusia di bawah 18 tahun.

Barcelona tidak boleh membeli pemain ketika pasaran perpindahan pemain yang dibuka hari ini dan pada musim panas ini sebelum musim 2015-16.

Mereka hanya boleh melakukan urusan perpindahan sekali lagi pada Januari 2016.

“FIFA berasa CAS jelas menyokong kuat usaha FIFA menjaga pemain di bawah umur,” menurut badan induk dunia itu dalam satu kenyataan.

Barcelona bagaimanapun menegaskan, mereka mungkin akan menimbang satu rayuan baru di mahkamah persekutuan Switzerland. CAS dan FIFA kedua-duanya berpangkalan di Switzerland.

Barcelona turut didenda 450,000 Swiss franc (RM1.6 juta). Persekutuan bola sepak Sepanyol turut diberi amaran dan didenda FIFA.

“Panel mendapati FC Barcelona melanggar peraturan berhubung kawalan pemain muda dan pendaftaran pemain muda menyertai akademi bola sepak,” menurut kenyataan itu.

Barcelona berkata, mereka ‘tidak setuju sama sekali’ dengan penggantungan itu yang dianggap tidak adil dan keterlaluan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:21 AM