KHOO Leng Huat. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Miri: Polis menafikan kes rogol dan bunuh melibatkan wanita yang didakwa berlaku berhampiran restoran makanan segera di sini.

Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, dakwaan yang kes itu berlaku telah dimuat naik dalam Facebook Miri Community II dan Miri City Community hari ini adalah tidak benar kerana tiada laporan diterima berkaitan dengan kes itu.

"Maklumat palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini sambil menambah polis sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun tersebut.

Seorang pemilik akaun Facebook telah memuatnaik gambar seorang wanita dalam keadaan bogel terbaring atas jalan raya di laman Facebook Miri Community II dan Miri City Community sehingga gambar tersebut menjadi tular dalam media sosial hari ini.

Pemilik akaun itu mendakwa wanita bogel yang sedang terbaring di tengah jalan telah dirogol dan dibunuh berhampiran sebuah restoran makanan segera di bandaraya Miri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 10:45 PM