Che Hasni (depan) bersama pegawainya memeriksa tayar dan berat lori traler ketika Operasi Bersepadu di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN

Che Hasni (depan) bersama pegawainya memeriksa tayar dan berat lori traler ketika Operasi Bersepadu di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN

Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Sebanyak 20 pengurusan syarikat bas ekspres dari seluruh negara akan dipanggil dan diberi amaran supaya memantau pemandu masing-masing yang dikenal pasti kerap menyalahi peraturan jalan raya.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, sesetengah pengurusan syarikat bas ekspres berkenaan pernah sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

Beliau berkata, ia bagi mengingatkan mereka supaya tidak bersikap lepas tangan selepas pemandu dari syarikat mereka dikenal pasti antara yang kerap bermasalah atau tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Menurutnya, ia juga bagi memupuk kesedaran pengurusan syarikat berkaitan tanggungjawab mereka untuk memantau cara pemanduan dan sikap pemandu.

"Menerusi penyamaran yang dilakukan anggota kami sebagai penumpang, ada antara pemandu bas yang masih memandu secara berbahaya termasuk melebihi had laju selain menggunakan telefon ketika memandu," katanya di sidang media di operasi bersepadu SPAD di Plaza Tol Skudai di sini, hari ini.

Che Hasni berkata, operasi berkenaan diadakan mulai jam 2 petang hingga 11.59 malam ini dan dijalankan seramai 103 anggota daripada pelbagai agensi.

Menurutnya, ia termasuk SPAD, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

"Dalam operasi berkenaan, sebanyak dua kes hasil daripada operasi penyamaran dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 masing-masing atas kesalahan memandu melebihi had laju dan menggunakan telefon bimbit.

"Dalam operasi yang masih berjalan itu, sebanyak 47 kes atas pelbagai kesalahan juga direkodkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 12:22 AM