PEMAIN Melaka raikan kemenangan.

Melaka: Benteng pertahanan Melaka United Mohd Faizal Muhamad puas dapat membantu pasukannya mengecewakan PKNS FC pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, kelmarin.

Baginya, peluang diberikan jurulatih Eric Williams untuk membarisi posisi pertahanan tengah, digunakan sebaik mungkin untuk mengekang pelawat hasil gandingan bersama import Ghana Godwin Antwi.

Faizal mengaku PKNS memiliki barisan serangan berbisa yang menampilkan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Safee Sali, Nazrin Syamsulbahari, Lucas Espindola dan Patrick Ronaldinho namun mereka tetap berjaya mengecewakan kuartet pelawat.

“Kami mendapat sokongan baik rakan sepasukan seperti Khair Mohd Jefri Jones, G Puaneswaran, Ezrie Shafizie Sazali dan pemain tengah untuk memastikan gawang tidak bocor. Selain itu, penjaga gol Mohd Fazli Paat juga bertindak cemerlang.

“Apa yang diharapkan selepas ini, semua pemain mampu mengekalkan rentak sama pada aksi berdepan Sarawak di Kuching, Sabtu ini. Kemenangan itu memberi suntikan motivasi tinggi buat kami,” katanya.

Menurutnya, bukan mudah untuk menundukkan Sarawak apatah lagi lawan juga dibarisi pemain mantap selain faktor gelanggang yang memihak kepada tuan rumah.

Bekas kapten PDRM 2016 yang pernah bersama Terengganu pada musim 2011-2013 serta T-Team 2014-2015 itu juga yakin skuad Hang Tuah mampu berada dalam kelompok enam teratas musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 9:25 AM